Berdasarkan salah satu muat naik Instagram daripada akaun tunku_idris, iaitu anakanda Sultan Johor, DYMM Sultan Ibrahim, ia ada membayangkan minat untuk menganjurkan kembali perlumbaan Grand Prix Johor.
Perlumbaan ini pertama kali diadakan pada 1940 untuk pasukan yang dijemput untuk mewakili Johor, Perak, Selangor, Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Tetapi GP ini hanya diadakan kembali pada 1948.
Sejak daripada itu sambutan yang diterima bagi perlumbaan ini menggalakan. Walaupun begitu, ia tidak semestinya diadakan setiap tahun kerana faktor-faktor tersendiri. Kali terakhir GP Johor dianjurkan adalah pada tahun 1969.
Jadi, apakah kemungkinan perlumbaan GP di Johor ini dihidupkan kembali? Umum diketahui bahawa DYMM Sultan Ibrahim memang berminat dengan dunia kereta, jadi tidak mustahil muat naik Instagram YAM Tunku Idris, merangkap Tunku Temenggong Johor adalah suatu yang sedang diusahakan.