MALAYSIA
Bila perang halang impian, belia Palestin perjuangkan pendidikan untuk kebebasan
Usaha menuntut ilmu menjadi satu bentuk pemerkasaan kepada belia Palestin, yang kebanyakan impian mereka telah musnah akibat perang. - Foto fail/REUTERS
KUALA LUMPUR: Golongan belia Palestin memanfaatkan pendidikan sebagai medium berkesan untuk meningkatkan kesedaran global mengenai perjuangan mereka menuntut kebebasan daripada pendudukan dan kekejaman Israel.
Wakil Kesatuan Am Pelajar Palestin - Cawangan Malaysia (GUPS) Dr Mohammed R.M. Salem berkata usaha menuntut ilmu menjadi satu bentuk pemerkasaan kepada belia Palestin, yang kebanyakannya impian mereka telah musnah akibat perang.
"Kami mencari keamanan, kemakmuran dan hak untuk hidup, bukannya keganasan atau peluasan kuasa. Inilah perbezaan antara bangsa yang mahu hidup dan maju dengan bangsa yang menindas untuk berkuasa.
Kami akan teruskan perjuangan ini hari ini, esok dan selama mana diperlukan sehingga Palestin merdeka," katanya kepada Bernama pada forum "More Than A War, It's Genocide" di Balai Seni Negara, di sini.
Forum itu menjadi acara utama kempen dua hari "Dunia Bersatu untuk Palestin" anjuran pelajar Tahun Tiga Program Pengimejan Diagnostik dan Radioterapi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia.
Kempen itu bertujuan meningkatkan kesedaran, memupuk pertukaran budaya dan menyokong kesejahteraan rakyat Palestin yang menetap di Malaysia.
Meskipun berdepan kesengsaraan selama berdekad, rakyat Palestin kekal antara populasi paling celik huruf di dunia.
Menurut data setakat 31 Jan 2025, kadar celik huruf di Palestin ialah 96 peratus, sedikit rendah berbanding 97.8 peratus yang dicatat pada 2022.
"Rakyat Palestin percaya ilmu itu kekuatan. Hampir setiap keluarga di Palestin mempunyai sekurang-kurangnya seorang ahli yang melanjutkan pengajian ke peringkat lepas ijazah. Generasi muda berpendidikan ini bukan sahaja cemerlang dalam akademik tetapi juga memiliki nilai moral yang tinggi.
"Apabila anda berpelajaran, anda memikul tanggungjawab untuk menggunakan ilmu itu sebagai alat membebaskan tanah air," kata Mohammed.
Bagi ramai rakyat Palestin yang terpaksa meninggalkan tanah air, menuntut ilmu melalui pelbagai cara menjadi sumber kekuatan dan kaedah untuk menangani trauma perang.
Seorang arkitek dan artis visual dari Gaza, Reem Zaher Ahmed, 27, berkongsi detik ngeri apabila rumahnya di Khan Younis diserang rejim Zionis.
"Saya terperangkap selama 12 jam di bawah runtuhan blok apartmen tiga tingkat. Saya terselamat, tetapi keluarga saya tidak. Saya kehilangan ibu, abang, anak saudara, abang ipar, mak cik dan sepupu pada 10 Oktober 2023.
"Selama setahun selepas tragedi itu, saya tidak dapat melukis apa-apa kerana trauma," katanya.
Reem berkata beliau perlahan-lahan mula melukis semula selepas tiba di Malaysia pada awal 2025, meluahkan kerinduan dan kesedihan melalui lukisan dan karya seni lain.
"Mula melukis semula dan kini dapat memperkenalkan seni Palestin kepada dunia ibarat hidup memberi saya peluang kedua dan tujuan baharu," katanya.
Bagi adiknya, Alaa, 21, seorang pelajar perubatan, perang hanya memaksa beliau menangguhkan impian dan bukan mengakhirinya.
Beliau berkata kelas bersemuka terpaksa dihentikan kerana institusi pendidikan dimusnahkan rejim.
"Malah belajar dalam talian pun sukar kerana banyak cabaran, termasuk internet terhad dan tiada tempat untuk belajar.
"Saya teruskan tahun ketiga secara dalam talian tetapi selepas itu, kerana dalam perubatan kita perlu jalani latihan klinikal di hospital, dan tiada hospital untuk dilatih di Gaza, jadi kami terpaksa berhenti belajar," katanya.
Pencerobohan berterusan Israel ke atas Gaza sejak Oktober 2023 telah meragut hampir 56,000 nyawa dan mencederakan lebih 130,000 orang.
Serangan Israel itu turut memusnahkan infrastruktur penting dan kemudahan utama di wilayah berkenaan.
Sekatan menyeluruh yang dikenakan rejim itu sejak Mac lepas terus memburukkan lagi krisis kemanusiaan yang sudah parah, hingga menjadikan wilayah berkenaan tidak lagi sesuai didiami menurut banyak pertubuhan kemanusiaan.
-- BERNAMA