'Bila tarik balik saman, tak perlu lagi saya jual baju-T lain' - Ahli Pas

Irwan Muhammad Zain
Februari 3, 2019 14:21 MYT
Wan Shafiq menjelaskan dia langsung tidak menyesal biarpun Abdul Hadi memutuskan untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah selepas dia menjual baju-T vintagenya itu. - Gambar fail
Ahli Pas yang sanggup melelong sehelai baju-T vintaj untuk membantu kos guaman dalam kes saman terhadap Sarawak Report di United Kingdom menerima dengan terbuka keputusan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memutuskan untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah.
Wan Shafiq Wan Abdul Rahman, 29 tahun, yang berjaya menjual sehelai baju-T vintaj kumpulan rock The Rolling Stones pada harga RM600, berkata jauh di lubuk hatinya sememangnya tidak mahu Abdul Hadi meneruskan kes saman tersebut kerana ia melibatkan kos yang tinggi.
Namun, kata Wan Shafiq disebabkan Abdul Hadi ingin meneruskan saman terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown, sebagai ahli parti yang setia, dia cuba membantu dengan caranya.
"Kalau sudah tidak jadi saman tak mengapalah, tak perlu lagi saya 'korbankan' t-shirt yang lain pulak.
"RM400 ribu itu besar jumlahnya dan dengan jumlah tersebut macam-macam program boleh dibuat," katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI.
Wan Shafiq menjelaskan dia langsung tidak menyesal biarpun Abdul Hadi memutuskan untuk menyelesaikan kes tersebut di luar mahkamah selepas dia menjual baju-T vintagenya itu.
"Tidak ada sekelumit pun rasa terkilan atau menyesal menjual t-shirt The Rolling Stones itu.
"Saya memang sayang t-shirt saya, tapi perjuangan yang Tuan Guru Abdul Hadi bawa ini, lagi saya sayang," katanya lagi.
Awal Januari lepas, Naib Presiden Pas Idris Ahmad membuat rayuan umum untuk mengumpul dana bagi menampung kos guaman kes saman Abdul Hadi terhadap Clare.
Namun, pada 2 Februari lalu, Abdul Hadi memutuskan untuk menyelesaikan kes saman terhadap Clare di luar mahkamah di London, United Kingdom.
BACA: Pas rayu bantu tampung kos saman Sarawak Report
BACA: Lelong T-shirt vintage untuk bantu Pas
BACA: Presiden Pas, Hadi Awang tarik balik tuntutan saman terhadap Rewcastle Brown
BACA: Pas tak kisah artikel Sarawak Report tak diturunkan
#Clare Rewcastle Brown #Malaysia #PAS #Sarawak Report #terengganu #The Rolling Stones #United Kingdom #Vintage #Wan Shafiq Wan Abdul Rahman