PUTRAJAYA: Bilangan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di seluruh negara melepasi paras amaran kebangsaan iaitu 1,150 kes seminggu pada Minggu Epidemiologi (ME) 19 (7- 13 Mei).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata Selangor menyumbang kes tertinggi iaitu 2,443 kes atau 24.9 peratus daripada jumlah keseluruhan, diikuti Sabah iaitu 1,505 kes, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (977), Johor (915), Sarawak (750) manakala negeri-negeri lain melaporkan sekitar atau kurang daripada 700 kes.

Beliau berkata bagi tahun ini setakat ME19, sebanyak 9,822 kes dilaporkan dan walaupun ia lebih rendah berbanding kes dilaporkan pada 2022 bagi tempoh sama iaitu 31,622, terdapat peningkatan kes HFMD dikesan bermula pada ME18 (30 April-6 Mei) yang melepasi paras purata kebangsaan iaitu 722 kes HFMD seminggu.

"Berdasarkan survelan enterovirus pada tahun ini, dua virus utama penyebab HFMD dikesan dalam kalangan kes yang sampelnya diambil iaitu Coksackie A6 (CA6) dan Coxsackie A16 (CA16). Tiada kes HFMD yang dilaporkan dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan tiada kes kematian HFMD," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dr Muhammad Radzi berkata kes HFMD banyak berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur enam tahun ke bawah iaitu sebanyak 8,587 kes atau 87.4 peratus.

"Institusi tempat perhimpunan kanak-kanak merupakan antara tempat yang dilihat sering berlaku penularan HFMD sehingga kadang-kala boleh berlaku kluster HFMD. Ini terutamanya jika kebersihan persekitaran tidak dijaga dan kanak-kanak dijangkiti hadir ke institusi," katanya.

Beliau berkata sejumlah 273 kluster dilaporkan pada 2023 sehingga 13 Mei lepas iaitu sebanyak 170 kluster dengan 675 kes dilaporkan berlaku di taska, tabika, tadika, prasekolah dan pusat jagaan harian, manakala selebihnya iaitu 101 kluster, berlaku di rumah persendirian dan dua kluster berlaku di sekolah.

Berikutan peningkatan kes HFMD, Dr Muhammad Radzi berkata Kementerian Kesihatan (KKM) menasihati orang ramai agar mengambil langkah-langkah pencegahan bagi mengawal dan menangani peningkatan kes itu.

Antaranya ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak yang mempunyai tanda-tanda jangkitan HFMD supaya tidak membawa anak mereka ke tempat awam, sekolah, taska, tadika dan pusat asuhan kerana boleh merebakkan jangkitan.

Selain itu, katanya, orang ramai perlu mengamalkan mencuci tangan dengan sabun dan air bersih selepas ke tandas, selepas menukar lampin dan selepas menyentuh atau merawat lepuh; membersihkan permainan anak serta lantai rumah termasuk tandas dengan menggunakan larutan campuran klorin dan memastikan pembuangan lampin pakai buang dibuat dengan betul.

Beliau berkata pengusaha dan pengasuh di taska, tadika dan tabika pula perlu sentiasa memastikan kebersihan premis termasuk peralatan dan perkakasan yang digunakan oleh kanak-kanak dan membuat saringan di pintu masuk.

Pengusaha taman permainan dalam dewan dan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPKM) juga disaran melakukan saringan di pintu masuk premis mereka dan melakukan pembersihan dan pembasmian kuman sekurang-kurangnya dua kali sehari.

-- BERNAMA