Bilangan mangsa banjir turun di Melaka dan Negeri Sembilan, naik di Johor

Bernama
Februari 7, 2016 16:38 MYT
Hanya 13 pusat pemindahan masih dibuka iaitu satu lagi di Jasin dan masing-masing enam di Melaka Tengah dan Alor Gajah. - Gambar fail
Jumlah mangsa banjir di Melaka menurun sedikit kepada 4,317 orang daripada 956 buah keluarga berikutan penutupan dua pusat pemindahan di Alor Gajah dan Jasin setakat 8 malam Ahad berbanding 4,382 orang daripada 968 buah keluarga yang direkodkan pada pukul 4 petang tadi.
Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Melaka, Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata hanya 13 pusat pemindahan masih dibuka iaitu satu lagi di Jasin dan masing-masing enam di Melaka Tengah dan Alor Gajah.
Ketika dihubungi Bernama malam ini, beliau berkata sebanyak 2,724 orang masih ditempatkan di pusat pemindahan di daerah Melaka Tengah diikuti 1,569 orang di daerah Alor Gajah dan 24 orang di daerah Jasin.
Di NEGERI SEMBILAN, jumlah mangsa mencatatkan penurunan sedikit daripada 666 orang dari 177 buah keluarga petang tadi kepada 657 daripada 166 buah keluarga pada malam Ahad.
Pengarah JPAM Negeri Sembilan, Lt Kol (PA) Kamal Mokhtar dalam kenyataan berkata setakat pukul 9 malam ini, masih enam pusat pemindahan dibuka di daerah Tampin.
Sejumlah 589 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (F) Sungai Kelamah; Masjid Sungai Dua (15); Balai Raya Parit Buloh, Air Kuning (16); Balai Raya Sungai Kelamah (18); Balai Raya Kampung Ladang, Gemas (4) dan 15 orang di Sekolah Kebangsaan Kampong Ladang.
Dalam pada itu, laluan jalan raya Gemencheh-Gemas masih lagi ditutup untuk semua kenderaan.
Sementara di JOHOR, mangsa banjir di negeri itu meningkat kepada 105 orang daripada 29 buah keluarga di tiga pusat pemindahan di daerah Ledang.
Jumlah itu berbanding 82 orang daripada 20 buah keluarga yang dicatatkan pada petang tadi, kata Pegawai JPAM Daerah Ledang, Mohd Shahrizan Abdul Aziz.
Katanya jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan Sialang dan Sekolah Agama Bandar Tangkak bertambah kepada 84 orang berbanding 61 orang pada sebelah tengah hari.
"Kesemua mangsa yang terdiri daripada 23 buah keluarga berada dalam keadaan sihat dan mereka adalah dari Kampung Seberang Gajah, Kampung Sialang Dalam, Kampung Tanjong Laboh dan Kampung Sri Makmur," katanya.
Sementara itu, menurut jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Segamat, jumlah mangsa banjir di daerah Gemas bertambah seorang kepada 21 mangsa yang melibatkan enam buah keluarga yang kini ditempatkan di pusat pemindahan Balai Raya Kampung Awat.
#Alor Gajah #banjir #Jasin #JPAM #Melaka