KUALA LUMPUR: Bilangan penganggur di dalam negara pada Januari lepas berkurang kepada 680,400 orang, menjadikan kadar pengangguran berada pada 4.2 peratus, kata Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin.

Beliau berkata, jumlah itu berkurang sebanyak 1.1 peratus berbanding 687,600 orang pada Disember tahun lepas.

"Kedudukan tenaga buruh semakin baik pada Januari 2022 didorong peningkatan berterusan dalam guna tenaga manakala penganggur dalam trend menurun," katanya dalam kenyataan Statistik Tenaga Buruh, Malaysia, Januari 2022 di sini hari ini.

Menurut Mohd Uzir, bilangan penduduk bekerja juga bertambah iaitu 15.69 juta orang, meningkat 0.2 peratus berbanding 15.65 juta orang pada Disember 2021, mencatatkan nisbah guna tenaga lebih tinggi iaitu 66.2 peratus.

Berikutan itu, tenaga buruh meningkat 0.2 peratus iaitu 16.37 juta orang berbanding 16.34 juta pada Disember, seterusnya meningkatkan kadar penyertaan tenaga buruh bulan Januari kepada 69.1 peratus berbanding 69.0 pada bulan sebelumnya.

"Situasi ini mencerminkan aktiviti ekonomi yang menggalakkan pada Januari 2022 berikutan kesemua negeri telah berada dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara yang membenarkan perniagaan terus beroperasi pada kapasiti penuh dengan waktu perniagaan lebih panjang," katanya.

Mengulas lanjut mengenai situasi pengangguran pada Januari, Mohd Uzir berkata daripada 680,400 penganggur, 83.7 peratus adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.

Mengikut sektor ekonomi, beliau berkata bilangan penduduk bekerja dalam perkhidmatan mencatatkan peningkatan bulan ke bulan berterusan terutama dalam aktiviti perkhidmatan makanan dan minuman; perdagangan borong dan runcit serta maklumat dan komunikasi.

Katanya, trend sama juga dilihat dalam sektor pembuatan dan pembinaan dengan bilangan guna tenaga yang terus meningkat, sebaliknya guna tenaga dalam sektor pertanian serta perlombongan dan pengkuarian berada pada trend menurun sejak 18 bulan lepas.

Mengulas tenaga buruh secara keseluruhan, Mohd Uzir berkata prospek ekonomi yang lebih optimis dijangka pada bulan-bulan akan datang digambarkan oleh Indeks Pelopor yang melebihi 100 mata secara berterusan dan meningkat pada Disember 2021.

Menurutnya, prospek positif itu akan mendorong kepada peningkatan dalam aktiviti perniagaan dan seterusnya mewujudkan lebih banyak permintaan buruh dalam ekonomi.

"Pewujudan lebih banyak peluang pekerjaan akan menggalakkan penyertaan buruh yang lebih ramai, sekali gus mendorong pasaran buruh untuk menjadi lebih rancak pada bulan-bulan yang akan datang," katanya.

-- BERNAMA