PUTRAJAYA: Pembinaan arca berkonsep garis masa kemerdekaan Malaysia dengan menggunakan bahan terbuang secara berkumpulan bukan sahaja dapat memupuk semangat kerjasama malah membolehkan peserta memahami sejarah negara.

Arca yang dihasilkan berkisar pada zaman Kesultanan Melayu Melaka antara 1400 dan 1511; zaman penjajah Portugis (1511-1641), Belanda (1641-1824) dan British (1824-1957); peristiwa Bukit Kepong di Muar, Johor (23 Feb 1950); zaman penjajah Jepun (Disember 1941); pascamerdeka (31 Ogos 1957- 1967); sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos 1957 dan mercu tanda negara selepas mencapai kemerdekaan termasuk Bangunan Parlimen.

Inisitatif ini bersempena dengan Pertandingan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Hiasan Kemerdekaan anjuran Bahagian Undang-Undang, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) sebagai satu usaha menyemarakkan Hari Kebangsaan 2023.

Penolong Pegawai Undang-undang Kanan, Bahagian Undang-Undang KPKT Zazarina Dzukifli berkata lebih 60 peratus bahan buangan dimanfaatkan untuk membina tujuh arca sesuai garis masa ditetapkan iaitu Istana Kesultanan Melayu Melaka, kapal perang, Balai Polis Bukit Kepong, televisyen model lama, Menara Berkembar Petronas serta Tugu Negara.

"Bahan buangan yang dikitar semula untuk menghasilkan arca-arca ini antaranya kotak, kertas, tali, sudu plastik, tin minuman, kotak polisterin serta penyedut minuman dan semua arca itu kini dipamerkan di Aras 10, bangunan KPKT, " katanya kepada Bernama.

Zazarina berkata untuk menyiapkan tujuh arca itu, 30 peserta yang juga petugas Bahagian Undang-Undang KPKT perlu mengulang kaji sejarah negara terlebih dahulu sebelum memulakan kerja-kerja seni mereka.

Menurut Zazarina, penghasilan arca itu selain dapat menzahirkan kreativiti kakitangan, ia juga 'menjentik' hati peserta menghayati sejarah perjuangan nenek moyang dalam menghadiahkan sebuah negara merdeka kepada generasi kini.

"Kami siapkan arca ini bukan dengan hati yang kosong, tetapi dengan perasaan sedih dan bangga mengenang jasa serta semangat patriotik generasi terdahulu. Betapa bertuahnya kita lahir selepas Malaysia merdeka," katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Undang-Undang KPKT Mohd Hanif Najdi Mohd Saufi berkata, proses menyiapkan arca berkenaan menjadi kenangan indah dan bermanfaat buat peserta kerana dapat meluangkan masa bersama serta menterjemah kreativiti masing-masing.

"Bila ada 'pertandingan' begini baru kita sedar pentingnya semangat berpasukan selain boleh tahu kemahiran dimiliki rakan sekerja yang selama ini kita nampak sibuk bekerja sahaja, tetapi rupanya ada 'kemahiran' dalam reka cipta dan kreatif. Aktiviti ini bantu kurangkan 'tekanan'," katanya.

Katanya, pembinaan arca garis masa yang memerlukan kreativiti bertepatan dengan teras ketiga konsep Malaysia MADANI iaitu Daya cipta yang diperkenalkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 19 Jan lepas.

Selain Daya Cipta, lima teras lain ialah keMampanan; kesejAhteraan; hormAt; keyakiNan dan Ihsan.

Sambutan Hari Kebangsaan 2023 bertemakan 'Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan' diadakan di Dataran Putrajaya di sini, pada 31 Ogos ini.

Putrajaya pernah menjadi lokasi sambutan Hari Kebangsaan pada 2003, 2005, 2018 dan 2019.

-- BERNAMA