Bincang dengan hikmah isu gabung UniSZA, UMT - MAAC

Bernama
September 22, 2019 01:52 MYT
Pada 4 Sept lepas, Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi berkata kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UniSZA dan UMT.
Isu penggabungan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memerlukan kerajaan memulakan perbincangan dengan semua pemegang taruh dengan bijak dan hikmah.
Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata pihaknya berpendapat bahawa penggabungan kedua-dua universiti itu perlulah melihat kepada kepentingan serta manfaat kepada masyarakat dan negara keseluruhan.
"Jika kajian dan rundingan telah dilakukan dan kedua-dua komuniti ilmuan serta pentadbir telah mencapai konsensus kalangan mereka, maka penggabungan itu akan menjadi lebih mudah dan harmoni.
"MAAC berpendirian iaitu sesuatu penggabungan akan memberi impak yang negatif lebih dari impak positif jika tidak ditangani dengan berhikmah. Ia perlu perundingan dan kajian yang strategik agar semangat penubuhan UniSZA dan UMT tidak terkubur," katanya dalam kenyataan kepada Bernama hari ini.
BACA: Gabung UMT, UniSZA perlu kajian menyeluruh - MB Terengganu
BACA: Cadangan gabungan manfaatkan kedua-dua universiti - NC UniSZA
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu penggabungan kedua-dua universiti sepertimana yang dilaporkan media baru-baru ini.
Pada 4 Sept lepas, Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dilapor sebagai berkata kerajaan bersetuju secara prinsip dengan cadangan penggabungan UniSZA dan UMT dan ia dicapai dalam mesyuarat Kabinet pada hari yang sama.
BACA: KPM jamin tiada pensyarah diberhentikan kerja akibat gabung UMT dan UniSZA
BACA: Mahasiswa bantah gabung UMT, UniSZA
Mengulas lanjut, Mohd Idrus berkata terdapat beberapa persoalan yang perlu dijawab oleh kerajaan mengenai penggabungan itu.
"Adakah prestasi mereka pada ketika ini tidak seperti diharapkan oleh masyarakat dan negara? Adakah mereka ini membebankan kerajaan dan jika ya, berapa peratuskah penjimatan yang akan berlaku dan apakah yang menyebabkan idea penggabungan ini tercetus?," soalnya.
-- BERNAMA
#gabung #kerajaan #Kongres Persatuan Akademik Malaysia #MAAC #mesyuarat Kabinet #Mohd Idrus Mohd Masirin #pemegang taruh #penggabungan #umt #UniSZA #universiti #universiti malaysia terengganu #Universiti Sultan Zainal Abidin