Perbincangan ini adalah wajar kata wakil NGO yang dihubungi Astro AWANI kerana ia bagi memastikan agar penempatan yang disediakan bersifat telus dan memenuhi keperluan golongan gelandangan.
Pada Rabu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebuah tempat khas untuk menempatkan golongan gelandangan di ibu kota dijangka siap dalam tempoh enam bulan akan datang.
Pengasas Pertiwi Soup Kitchen, Munirah Hamid mahu agar kajian mengenai apa yang diperlukan di penempatan itu diadakan agar menepati keperluan.
“Kajian perlu dibuat terutamanya berkenaan kemudahan yang disediakan kerana kita tidak mahu ia menjadi seperti Anjung Singgah.
“Kementerian perlu adakan perbincangan dengan pihak NGO dalam mengenalpasti keperluan mereka, bukan sekadar mengikut keputusan sendiri,” kata Munirah yang sudah lima tahun turun ke jalanan untuk memberi makan dan menjaga kira-kira 800 gelandangan.
Munirah Hamid (baju merah) berkata perbincangan dengan pihak NGO perlu dalam mengenalpasti keperluan golongan gelandangan.
Pegawai Pengurusan Laman Suria dan Yayasan Salam Malaysia, Nor Ain Syah pula berkata mahu maklumat mengenai penempatan ini diberitahu dengan lebih terperinci sekiranya boleh.
“Adakah ianya percuma? Apa yang disediakan? Saya setuju dengan usaha Perdana Menteri namun pihak kementerian perlu juga memahami dan mengkaji keadaan gelandangan.
“Ada gelandangan yang mempunyai keluarga dan pekerjaan, cuma mereka tidak mampu untuk menyewa bilik kerana kos yang tinggi,” terang Nor Ain.
Menurut Nor Ain lagi, perbincangan sangat penting memandangkan pihak NGO seperti mereka lebih memahami keadaan gelandangan.
Pandangan yang sama disuarakan oleh Pengarah Projek Kechara Soup Kitchen, Justin Cheah, ketika dihubungi berkata pihaknya mengalu-alukan usaha Perdana Menteri yang secara langsung banyak membantu masalah yang dihadapi oleh golongan gelandangan.
“Bantuan begini sekurang-kurangnya dapat mengurangkan tekanan dan menyenangkan golongan gelandangan ini, ada tempat untuk mandi dan untuk berehat.
“Selain itu bantuan ini juga dilihat dapat memberi keyakinan kepada mereka untuk menetap dan memulakan hidup baru, misalnya jika mereka mula berkerja, bantuan ini dapat meringankan beban tempat tinggal” kata Justin.
Justin Cheah (paling kanan) bersetuju tempat khas disediakan agar dapat memberi keyakinan kepada mereka untuk menetap dan memulakan hidup baru.
Justin turut mahu agar perbincangan diadakan agar pihak kemeterian dapat bertukar-tukar pendapat bersama badan NGO memandangkan pihaknya lebih banyak turun padang dan mendalami hidup golongan gelandangan.
Najib malam tadi, membuat tinjauan secara mengejut aktiviti Soup Kitchen di sekitar Jalan Tun Perak di sini.
Najib berkata selain menyediakan tempat tidur pada waktu malam buat gelandangan, tempat khas itu juga akan dilengkapi kemudahan bilik mandi serta almari simpanan untuk menyimpan barangan golongan kurang bernasib baik itu.