Biodata Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim

Bernama
Januari 28, 2024 05:25 MYT
Tunku Ismail menjalani latihan ketenteraan sebagai Pegawai Kadet di Indian Military Academy (IMA), Dehradun, India, pada 17 Julai 2003 sehingga 11 Dis 2004 sebelum ditauliahkan pangkat Leftenan dalam upacara tamat latihan.
JOHOR BAHRU: Berikut adalah biodata rasmi Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dilantik sebagai Pemangku Sultan hari ini, berikutan ayahanda baginda Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bakal memulakan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-17 mulai 31 Jan ini untuk tempoh lima tahun.
Menurut biodata yang dikongsikan oleh Royal Press Office, Tunku Ismail diputerakan pada 30 Jun 1984 di Johor Bahru dan merupakan putera sulung kepada Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah.
Lima adinda Tunku Ismail ialah Tunku Tun Aminah, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Almarhum Tunku Laksamana Johor Tunku Abdul Jalil, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.
PENDIDIKAN
Tunku Ismail mendapat pendidikan awal persekolahan di Sekolah Sri Utama dan Sekolah Rendah Kebangsaan St Joseph, masing-masing terletak di Johor Bahru dan seterusnya di Australian International School, Singapura.
Baginda kemudian melanjutkan pelajaran di Hale School, Perth, Australia pada tahun 1999 sehingga akhir tahun 2002.
KETENTERAAN
Baginda menjalani latihan ketenteraan sebagai Pegawai Kadet di Indian Military Academy (IMA), Dehradun, India, pada 17 Julai 2003 sehingga 11 Dis 2004 sebelum ditauliahkan pangkat Leftenan dalam upacara tamat latihan.
Baginda ditempatkan di Unit 61 Cavalry Tentera Darat India, Jaipur, India, selama dua tahun mulai 15 Dis 2004 sehingga 14 Dis 2006.
Kehebatan Tunku Ismail berkuda terbukti jelas apabila baginda dianugerahkan 'Best In Riding' yang selanjutnya mengangkat kecemerlangan kepada IMA.
Tunku Ismail menempa sejarah apabila menjadi rakyat asing pertama menyertai rejimen berkuda tentera India memberi tabik hormat kepada Presiden India APJ Abdul Kalam sempena sambutan Hari Kebangsaan India ke-58 pada 20 Jan 2007, yang turut dihadiri tetamu kenamaan termasuk Presiden Rusia Vladimir Putin.
Pada 14 Jul sehingga 23 Sept 2008 Tunku Ismail melaksanakan Kursus Kepakaran Gerak Khas di Kem Iskandar, Mersing, dan pada 9 Okt sehingga 19 Nov 2008 mengikuti Kursus Asas Payung Terjun di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULAPAK).
Pada 1 Ogos 2010, Tunku Ismail dianugerah Beret Hijau Kehormat Grup Gerak Khas (GGK) atas kepimpinan dan sumbangan buah fikiran dalam mempertingkatkan keupayaan GGK.
PEMASYHURAN
Tunku Ismail dimasyhurkan sebagai Raja Muda Johor pada 8 April 2006 dan kemudian sebagai Tunku Mahkota Johor pada 28 Jan 2010.
JAWATAN DISANDANG
1. Penaung Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) (sejak 2012 - kini).
2. Pemilik Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) (sejak 2016 - kini)
3. Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) (sejak 3 Dis 2022 - kini)
SUKAN
Sukan kegemaran Tunku Ismail antaranya polo dan bola sepak.
Selaku Presiden PBNJ sejak 16 Feb 2012, baginda telah membangun, menerajui dan mengangkat pasukan bola sepak Johor ke tahap berprestasi tinggi dan disegani.
Tunku Ismail dilantik sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017-2021 selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-53, 25 Mac 2017.
KEHIDUPAN PERIBADI
Tunku Ismail berkahwin dengan Che' Puan Mahkota Khaleeda Johor di Istana Bukit Serene di sini pada 24 Okt 2014.
Pasangan diraja itu dikurniakan empat cahaya mata terdiri daripada dua putera dan dua puteri iaitu Tunku Khalsom Aminah Sofiah, Tunku Iskandar Abdul Jalil Abu Bakar Ibrahim, Tunku Abu Bakar Ibrahim dan Tunku Zahrah Zarith Aziyah.
-- BERNAMA
#Tunku Ismail #Pemangku Sultan Johor #latar belakang #biodata TMJ