Skip to main content

Malaysia

Bioteknologi moden perkasa penghasilan benih, baka tempatan – KPKM

Bioteknologi
Penerapan bioteknologi dalam industri pertanian negara amat penting bagi mempercepat pembangunan benih dan baka berkualiti tinggi dan meningkatkan produktiviti. - Gambar hiasan/Imej janaan AI
Advertisement

MELAKA: Kerajaan terus komited mempergiat penghasilan benih dan baka tempatan menerusi pendekatan bioteknologi moden sebagai antara langkah mencapai sasaran mengurangkan kebergantungan terhadap import benih sebanyak 30 peratus menjelang 2040.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan pendekatan berkenaan penting bagi memperkukuh industri benih negara menerusi penyelidikan, pembangunan kepakaran serta pengeluaran bahan tanaman berkualiti yang menyokong kelestarian sektor agromakanan.

Menurut kenyataan itu, Hala Tuju Pendekatan Bioteknologi Moden bagi Peningkatan Kadar Sara Diri Agromakanan Negara diluluskan pada Mesyuarat Majlis Benih Negara (MBN) Bilangan 2 Tahun 2026.

Mesyuarat yang dipengerusikan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu itu berlangsung di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Bukit Katil, di sini, pada Khamis.

"Penerapan bioteknologi dalam industri pertanian negara amat penting bagi mempercepat pembangunan benih dan baka berkualiti tinggi, meningkatkan produktiviti serta memperkukuh daya tahan tanaman dan ternakan terhadap perubahan cuaca dan penyakit," menurut kenyataan itu.

Mesyuarat yang turut dihadiri wakil kementerian, agensi kerajaan, pakar akademik serta pakar industri benih dan baka daripada sektor swasta itu turut meluluskan cadangan memperkasa Ekosistem Pembiakan Kambing Tenusu Negara menerusi penetapan hala tuju pengukuhan industri tenusu baka kambing Saanen di Pantai Timur.

"Inisiatif itu merupakan kesinambungan projek Malaysia Anglo Nubian Park di Perak yang diluluskan pada awal tahun ini dan berpotensi mencapai produktiviti tinggi melalui penghasilan baka tenusu berkualiti serta kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta.

"Selain itu, mesyuarat meluluskan cadangan pemerkasaan dan pengukuhan Pelan Pembangunan Industri Akuakultur (PPIA) bagi Pusat Pembiakan Nukleus (NBC) dan Broodstock Multiplication Centre (BMC) dengan melantik syarikat sebagai Project Delivery Partner," katanya.

Dalam pada itu, sesi lawatan ke ladang kultur tisu pisang di Ayer Molek, Melaka turut diadakan bagi meninjau secara dekat aplikasi bioteknologi dan inovasi, khususnya teknologi kultur tisu dalam pengeluaran bahan tanaman berkualiti.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement