MALAYSIA

'Black Maria' bawa OKT terbalik

Sinar Harian 28/01/2026 | 05:45 MYT
Lori 'Black Maria' yang terbalik di simpang empat lampu isyarat, Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Pekan Rembau pada Selasa. -Sinar Harian
REMBAU: Seramai 10 orang kena tuduh (OKT) cedera selepas lori 'Black Maria' yang mereka naiki hilang kawalan lalu terbalik di simpang empat lampu isyarat, Jalan Seremban-Tampin, berhampiran Pekan Rembau di sini pada Selasa.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Azmi Ali berkata, kejadian kira-kira jam 9.40 pagi itu berlaku ketika lori berkenaan yang dalam perjalanan dari Penjara Seremban menuju ke Mahkamah Rembau.

"OKT bersama lima anggota pengiring dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mahu ke Mahkamah Rembau untuk menghidupkan waran menahan.

"Namun ketika membelok ke kanan jalan di lokasi, lori itu hilang kawalan dan terbalik yang menyebabkan empat OKT cedera, manakala enam lagi mengalami luka ringan," katanya pada Rabu.

Menurutnya, OKT yang cedera telah dibawa ke Hospital Rembau dengan ambulans bersama dua anggota pengiring serta eskot MPV untuk rawatan lanjut.

Ujar Azmi, susulan kejadian berkenaan, Cawangan Pengawal Pengiring Ibu Pejabat Polis (IPD) Rembau dan Trafik IPD Rembau hadir ke tempat kejadian untuk memberi bantuan awal. -Sinar Harian





#Black Maria #lori terbalik #okt #Jalan Seremban-Tampin #penjara seremban