BUKIT MERAH: Malaysia memperkukuh peranannya dalam penyelidikan dan pemuliharaan primat menerusi penganjuran julung kali Persidangan Antarabangsa Primatologi, Penglibatan Komuniti dan Masa Depan Pemuliharaan Bukit Merah 2026 (BM PRIMAT2026).
Persidangan dua hari yang berlangsung di Bukit Merah Laketown Resort dari 12 hingga 13 Oktober lalu menjadi medan menghimpunkan penyelidik, ahli akademik, pengamal pemuliharaan, pembuat dasar, pelajar dan pihak berkepentingan dari rantau ini.
Lebih 100 peserta dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan Brunei menyertai persidangan berkenaan, dengan 24 pembentang berkongsi hasil penyelidikan dan kepakaran berkaitan primatologi serta pemuliharaan.
BM PRIMAT2026 dianjurkan Yayasan Pulau Orang Utan Bukit Merah (BMOUIF) dengan kerjasama Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia (USM), manakala M K Land Holdings Berhad bertindak sebagai rakan korporat.
Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) pula merupakan penaja utama persidangan itu.
Persidangan dirasmikan Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Penyelidikan), Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof Dr Zainal Amin Ayub yang mewakili Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Dr Haji Aminuddin Hassim.
Dalam ucapannya, Zainal menekankan peranan penting pendidikan tinggi dan penyelidikan dalam mendepani cabaran biodiversiti serta alam sekitar yang semakin kompleks.
Menurutnya, usaha pemuliharaan memerlukan kerjasama merentasi pelbagai sektor melibatkan ahli akademik, kerajaan, industri, organisasi pemuliharaan dan komuniti.
“Pendidikan tinggi mempunyai peranan penting dalam menangani cabaran biodiversiti, bukan sahaja melalui penghasilan ilmu pengetahuan, tetapi juga dengan membangunkan bakat, keupayaan penyelidikan dan perkongsian yang diperlukan untuk menterjemahkan pengetahuan itu kepada penyelesaian.
“Pemuliharaan merupakan cabaran yang kompleks dan bersifat antara disiplin, dan BM PRIMAT2026 menyediakan platform penting untuk penyelidik, pengamal, pembuat dasar dan komuniti belajar antara satu sama lain serta membina kerjasama yang boleh membawa kepada tindakan bermakna,” katanya.
Penyelidikan perlu diterjemah kepada tindakan
Zainal turut menekankan kepentingan merapatkan hubungan antara penyelidikan akademik dengan keperluan sebenar usaha pemuliharaan.
Pada masa sama, katanya, pelajar dan penyelidik muda perlu diberi peluang memperoleh pengalaman praktikal serta menyumbang kepada penyelesaian berkaitan alam sekitar.
Menurut beliau, nilai sesuatu penyelidikan tidak seharusnya terhenti selepas hasil kajian diterbitkan.
Sebaliknya, penyelidikan juga perlu dimanfaatkan untuk menambah baik amalan pemuliharaan, membantu pembentukan dasar, meningkatkan kebajikan hidupan liar, menyokong komuniti serta mempersiapkan generasi baharu penyelidik dan pengamal pemuliharaan.
Justeru, kerjasama antara universiti, organisasi pemuliharaan, kerajaan dan industri menjadi semakin penting dalam mencapai matlamat tersebut.
Zainal pada masa sama memuji usaha M K Land Holdings Berhad membangunkan ekosistem Bukit Merah secara lebih menyeluruh, sekali gus membantu meletakkan kawasan itu bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan, malah pintu masuk untuk masyarakat mengenali usaha pemuliharaan menerusi Pulau Orang Utan Bukit Merah.
Beliau berpandangan, pembangunan sesuatu destinasi boleh bergerak seiring dengan pemuliharaan, pendidikan serta usaha meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap khazanah alam.
Sehubungan itu, beliau berharap lebih banyak entiti korporat tampil menyokong inisiatif pemuliharaan kerana tanggungjawab tersebut perlu digalas bersama oleh pelbagai sektor.
Bukan sekadar orang utan
Ditubuhkan pada 2000, Pulau Orang Utan Bukit Merah menurut BMOUIF merupakan pusat perlindungan pulau pertama dan satu-satunya di Malaysia yang dikhususkan sepenuhnya kepada usaha pemuliharaan orang utan.
BMOUIF yang ditubuhkan pada 2008 pula merupakan organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memberi tumpuan kepada perlindungan dan pemuliharaan jangka panjang orang utan menerusi pemuliharaan ex-situ, pendidikan, penyelidikan dan kesedaran awam.
Yayasan itu kini menjaga 15 orang utan Borneo.
Sebagai sebahagian program BM PRIMAT2026, peserta turut mengadakan lawatan ke Pulau Orang Utan Bukit Merah bagi melihat sendiri bagaimana isu yang dibincangkan dalam persidangan diterjemahkan kepada usaha pemuliharaan, pendidikan dan penglibatan awam di lapangan.
Bagaimanapun, BM PRIMAT2026 tidak hanya memberi tumpuan kepada orang utan.
Skop persidangan merangkumi bidang primatologi yang lebih luas, sejajar dengan kepakaran dan aktiviti penyelidikan di Malaysia melibatkan orang utan, ungka, kera, lutung serta monyet probosis.
Antara tujuh bidang utama diberikan tumpuan ialah ekologi tingkah laku, genetik dan fisiologi; pengurusan dalam kurungan; penjagaan veterinar dan penyakit baharu muncul; pemuliharaan dan kebajikan; ekopelancongan serta penglibatan komuniti; dasar dan pembangunan mampan; selain pendidikan dan pengurusan alam sekitar.
Mahu galakkan lebih banyak penyelidikan orang utan
Pengerusi BMOUIF, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdul Latif Mohamad berkata, BM PRIMAT2026 diwujudkan untuk menyediakan platform khusus bagi bidang primatologi yang menghimpunkan kepakaran tempatan sambil mengukuhkan hubungan dengan penyelidik dan pengamal dari rantau ini.
“BM PRIMAT2026 merupakan satu permulaan penting bagi kami. Walaupun persidangan ini dianjurkan sebuah yayasan pemuliharaan orang utan, skopnya sengaja diperluaskan kerana pemuliharaan primat melibatkan pelbagai spesies, disiplin dan perspektif.
“Kami mahu platform ini menghimpunkan kepakaran Malaysia dengan pengetahuan serantau, sambil mewujudkan peluang kepada penyelidik, pengamal pemuliharaan, pembuat dasar dan komuniti bekerjasama ke arah penyelesaian pemuliharaan yang praktikal dan mampan,” katanya.
Menurut Abdul Latif, persidangan itu juga diharap menjadi pemangkin kepada peningkatan penyelidikan berkaitan pemuliharaan orang utan, khususnya dalam kalangan penyelidik serta institusi Malaysia.
Sebanyak 24 abstrak diterima bagi penganjuran sulung itu dengan lima daripadanya khusus berkaitan orang utan.
BMOUIF berharap penganjuran akan datang dapat menarik lebih ramai penyelidik dan meningkatkan jumlah sumbangan penyelidikan berkaitan pemuliharaan orang utan.
Penganjuran BM PRIMAT2026 turut meneruskan usaha terdahulu BMOUIF dalam menggalakkan perkongsian pengetahuan dan kerjasama pemuliharaan.
Antaranya termasuk penganjuran Simposium Orang Utan Antarabangsa pada 2009 serta perbincangan meja bulat pelbagai pihak berkepentingan pada 2022 yang melibatkan agensi dan organisasi termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Perkhidmatan Veterinar serta zoo di Malaysia.
Isu kehilangan habitat hingga perubahan iklim
Program saintifik BM PRIMAT2026 turut menampilkan pembentangan ucaptama oleh Prof Dr Suchinda Malaivijitnond dari Chulalongkorn University, Thailand dan Dr Sri Suci Utami Atmoko dari National University (UNAS), Indonesia.
Antara penceramah pleno pula ialah Prof Dr Badrul Munir Md Zain, Prof Madya Dr Herlina Agustin, Dr Kevin Lazarus dan Bernard Harrison.
Persidangan itu digerakkan berdasarkan tiga objektif utama, iaitu memajukan pengetahuan saintifik dalam primatologi; memperkukuh kerjasama antara penyelidik, komuniti dan pembuat dasar dalam membangunkan inisiatif pemuliharaan yang mampan serta berteraskan komuniti; dan meningkatkan kesedaran serta penyelesaian praktikal bagi pemuliharaan biodiversiti dan daya tahan iklim.
Keperluan terhadap kerjasama itu semakin penting ketika primat dan habitatnya berhadapan pelbagai tekanan, termasuk kehilangan serta fragmentasi habitat, konflik manusia-hidupan liar, perdagangan hidupan liar, penyakit dan perubahan alam sekitar berkaitan iklim.
Sasaran jadi platform dwitahunan serantau
Sebagai edisi sulung, BM PRIMAT disasarkan berkembang menjadi platform dwitahunan atau diadakan setiap dua tahun bagi memastikan perkongsian ilmu, jaringan profesional dan kerjasama dalam bidang primatologi serta pemuliharaan dapat diteruskan.
Abstrak yang dibentang dan dikemukakan pada BM PRIMAT2026 juga akan dihimpunkan dalam prosiding persidangan sebagai rekod akademik daripada penganjuran pertama itu.
Penganjur turut berharap persidangan berkenaan dapat melahirkan rangkaian profesional, peluang kerjasama serta perkongsian penyelidikan baharu.
Menurut Abdul Latif, hasrat pihaknya adalah untuk membangunkan BM PRIMAT sebagai platform primatologi yang diiktiraf di Malaysia dan rantau ini dengan sokongan universiti, penyelidik, agensi kerajaan, organisasi pemuliharaan, pemain industri serta pihak berkepentingan lain.
“Edisi pertama ini hanyalah permulaan. Apa yang penting sekarang ialah bagaimana kita meneruskan perbincangan, kerjasama dan perkongsian penyelidikan yang tercetus daripada pertemuan ini serta terus mengembangkannya dalam edisi akan datang,” katanya.
Dengan menggabungkan penyelidikan saintifik, amalan pemuliharaan, penglibatan komuniti, pendidikan serta kerjasama serantau, BM PRIMAT2026 diharap dapat merapatkan jurang antara ilmu pengetahuan dengan tindakan, sekali gus menyumbang kepada kelangsungan jangka panjang primat dan ekosistem yang menjadi habitatnya.