BMS 2025 terus dapat sambutan, ibu bapa semakin celik kewangan anak

Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim,(tiga, kiri) merasmikan Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2025. Turut hadir Ahli Lembaga Pengurusan, Datuk Abu Tariq Jamaluddin (hujung kiri).
KUALA LUMPUR: Kempen Bulan Menabung SSPN (BMS) 2025 terus mengekalkan momentum positif dalam kalangan ibu bapa yang melihatnya sebagai platform berdisiplin untuk menjamin masa depan pendidikan anak-anak.
Ia merupakan salah satu usaha bagi menyebarluaskan manfaat Simpan SSPN kepada masyarakat Malaysia, bersempena sambutan Hari Tabungan Sedunia pada 31 Oktober setiap tahun.
Pengerusi PTPTN, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata: “Saya difahamkan BMS 2025 telah menerima sambutan yang amat menggalakkan di seluruh negara.
"Sepanjang tempoh pelaksanaan BMS 2025 bermula 26 September hingga 29 Oktober 2025, kutipan deposit Simpan SSPN yang diterima berjumlah RM222.29 juta, iaitu lebih tinggi 101.04% berbanding sasaran kutipan sebanyak RM220 juta.
"PTPTN kekal optimis jumlah kutipan deposit sempena BMS 2025 akan terus meningkat dan mencatatkan prestasi yang lebih membanggakan.
"Syabas dan tahniah diucapkan kepada PTPTN atas kejayaan cemerlang ini. Pencapaian ini amat membanggakan dan jelas membuktikan bahawa BMS 2025 merupakan program berimpak tinggi dalam menggalakkan amalan menabung dalam kalangan masyarakat," katanya ketika memberi ucapan dalam Majlis Penutup Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS 2025) di ibu negara pada Sabtu.
Pengunjung, Ng Huey Cherng, 41, berkata beliau telah membuka akaun SSPN sejak tiga tahun lalu setelah mengetahui manfaat yang ditawarkan.

Ng Huey Cherng.
“Akaun ini saya buka tiga tahun lepas. Masa pertama kali saya tahu tentang pelepasan cukai RM8,000, saya rasa memang berbaloi, jadi saya terus buka akaun.
"Selepas itu, saya anggap ia sebagai satu bentuk simpanan paksa (force saving) untuk anak sekali,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Penutup BMS 2025 di ibu negara pada Sabtu.
Menurutnya lagi, walaupun anaknya belum memahami sepenuhnya konsep menabung, beliau dan isteri tetap berusaha mendidik tentang pentingnya menyimpan berbanding berbelanja semata-mata.
Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Kelly Cheing, 52, yang bekerja dalam bidang kewangan, berkata penganjuran BMS 2025 membuka matanya terhadap fungsi serta manfaat simpanan SSPN yang sebelum ini tidak diketahui ramai.

Kelly Cheing.
“Baru saya tahu simpanan ini boleh digunakan untuk masa depan anak. Faedahnya pun lebih tinggi berbanding simpanan biasa. Kalau kami tak datang hari ini, saya pun tak tahu ada fungsi macam ini.
"Saya rasa ramai kawan saya pun tak tahu Simpan SSPN ini ada banyak faedah. Kebanyakan orang tak tahu yang akaun ini juga ada perlindungan takaful. Itu yang menarik minat saya. Sebab itu saya rasa ini sangat bagus untuk keuntungan tambahan,” katanya.
Edisi kali ini mengetengahkan tema Pengembaraan dengan slogan ‘Jom Jadi Superhero Anak Anda’, menggambarkan bahawa pendidikan dan kehidupan anak-anak adalah satu perjalanan penuh cabaran serta penemuan baharu.
Simpanan merupakan simbol kasih sayang, tanggungjawab dan harapan agar anak-anak dapat melangkah lebih jauh, lebih berani dan lebih yakin dalam mengejar impian pendidikan mereka.
Ketika Majlis Penutup BMS 2025, PTPTN dengan kerjasama Bank Islam turut memperkenalkan Kad Debit-i Bank Islam Visa PTPTN yang membolehkan para pelanggan menikmati pulangan tunai (cashback) apabila menggunakan kad tersebut untuk pembelian runcit dan atas talian dalam transaksi domestik serta luar negara.
Menariknya, pelanggan yang membuat simpanan dalam Simpan SSPN dan membuat bayaran balik pinjaman PTPTN menggunakan kad ini turut berpeluang menikmati cashback.
Cashback yang diterima boleh dipindahkan ke akaun Simpan SSPN sebagai simpanan atau akaun pinjaman sebagai bayaran balik.
Antara kelebihan kad ini, ia boleh diintegrasikan dengan akaun SSPN Prime bagi memudahkan urus niaga ATM termasuk pindahan. Turut diadakan, penyampaian sijil penghargaan kepada rakan strategik BMS 2025 dan penyampaian hadiah pemenang Pertandingan Simpan SSPN Got Talent.
Putri Qayla Qaleesya NurFirdaus, 11, dinobatkan sebagai johan pertandingan nyanyian Kategori Tahap 2 bagi Simpan SSPN Got Talent mengakui tidak menyangka akan meraih kemenangan itu kerana hanya sempat membuat persiapan selama dua hari.
“Ingatkan dapat nombor tiga… rupanya jadi juara,” katanya.
Mengulas mengenai tabiat menabung, Putri menyifatkannya sebagai satu amalan yang memberi banyak keuntungan.
“Kalau menabung, kita boleh beli benda yang penting. Jangan beli benda yang tak berfaedah," tambahnya.
Semasa majlis tersebut, PTPTN turut mempersembahkan tayangan muzik video lagu Simpan SSPN “Terbang Tinggi”.
Lagu ini telah dilancarkan semasa Majlis Penutup BMS tahun lalu dan kini diperkasakan lagi melalui penghasilan muzik video.
Ini melambangkan komitmen PTPTN dalam menyemarakkan amalan menabung dalam kalangan masyarakat Malaysia.
Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan ke atas simpanan sehingga RM8,000 setahun, perlindungan takaful ke atas pendeposit, Geran Sepadan sehingga RM10,000 secara percuma bagi satu keluarga yang layak, kadar dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan yang dijamin kerajaan.
Pelbagai kempen dan promosi turut dipergiat bagi menyemarakkan lagi amalan penabungan antaranya dengan mengadakan Kempen Cabutan WOW! Simpan SSPN 2025 yang menawarkan hadiah lumayan berjumlah lebih RM1.5 juta kepada 550 pemenang.
Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


