DREBAR
BMW M4 Concept GTS ketengahkan teknologi baharu untuk output lebih tinggi
Hanya setahun selepas model M4 dilancarkan, BMW M GmbH memperkenalkan satu lagi model yang pasti memikat citarasa penggemar kereta ‘sport’ – M4 Concept GTS. Penggunaan perkataan ‘Concept’ semestinya menunjukkan bahawa ia bukan untuk pengeluaran sebenar (setakat ini), tetapi ia sebuah idea yang memang sudah lama diamalkan BMW M.
Ia didahalui M3 edisi-edisi khas seperti M3 Evolution (1988), M3 Sport Evolution (1990), M3 GT (1995), M3 CSL (2003), M3 GTS (2010), dan M3 CRT (2011). Secara mudahnya, model ‘konsep’ ini diperhalusi dengan pengetahuan daripada dunia perlumbaan - peningkatan kuasa, pengurangan berat dan pengeluaran terhad.
Tambahan lagi, M4 Concept GTS ini masih lagi memenuhi keperluan undang-undang jalan raya, meskipun mempunyai prestasi untuk pemanduan di litar.
Fungsi Concept GTS buat masa ini lebih untuk mempertontonkan kepada semua teknologi-teknologi terkini dibangunkan untuk model pengeluaran yang akan datang. Contohnya adalah sistem pancutan air inovatif yang setakat ini hanya digunakan di dalam kereta keselamatan MotoGP untuk memberi tambahan kuasa kuda serta tork. Di samping itu, lampu belakang konsep ini adalah jenis OLED (organic light-emitting diode).
Splitter hadapan kereta ini boleh dilaras secara manual dan diperbuat dariapda gentian karbon. Bonetnya pula dibuat daripada plastik diperkuatkan gentian karbon (CFRP) untuk mengurangkan berat kereta selain merendahkan pusat graviti.
Tayar digunakan adalah Michelin Sport Cup 2, bersaiz 19 inci dihadapan dan 20 inci di belakang. Lebih istimewa adalah rodanya – ia diperbuat daripada CFRP juga!
Kembali kepada sistem pancutan air tadi, ia disembur halus ke dalam plenum ‘intake manifold’ dan apabila ia tersejat, secara automatik akan menyejukkan suhu udara yang menuju ke dalam kebuk pembakaran.
Oleh itu, suhu udara yang akan dimampat adalah lebih rendah, dan mengurangkan kemungkinan berlakunya detonasi tidak dijangka. Tahap ‘boost’ pengecas turbo kemudian dapat ditingkatkan.
Tidak ada perincian mengenai output daripada enjin enam silinder sebaris ini, tetapi harapnya BMW tidak membuat kita semua menunggu terlalu lama.