DREBAR
BMW Motorrad dengan BMW S 1000 XR dan BMW R 1200 RS baharu

BMW Motorrad telah memperkenalkan sepasang model baharu ke pasaran Malaysia: S 1000 XR dan BMW R 1200 RS. Sebagai model keempat dalam rangkaian motosikal berprestatasi tinggi BMW Motorrad yang dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris, BMW S 1000 XR digambarkan sebagai sebuah motosikal “Adventure Sport” yang mempunyai kualiti jentera touring yang dinamik, prestasi sporty, tahap keselesaan yang tinggi dan sesuai untuk kegunaan pada setiap hari.
BMW Group Malaysia yakin bahawa pelancaran model-model Motorrad baharu ini akan dapat menyumbang kepada prestasi syarikat yang lebih positif. “Kami bangga untuk mengumumkan bahawa lebih 600 unit motosikal BMW Motorrad telah diserahkan kepada pelanggan sehingga Julai 2015. Angka itu mengatasi 581 unit BMW Motorrad yang diserahkan sepanjang tahun 2014,” kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Alan Harris.
BMW S 1000 XR (RM 112,900 + GST, tanpa insurans)

Jentera ini dikuasakan oleh enjin DOHC yang menggerakkan model roadster BMW S 1000 R. Enjin bersesaran 999cc sebaris ini mampu menghasilkan kuasa maksimum 160hp dan tork mencecah 112Nm. Ia turut memberikan kuasa tarikan dan pecutan mengujakan bersama kuasa yang tinggi serta julat rev yang boleh digunakan sehingga 10,000rpm.
Jentera adventure sports baharu ini hadir bersama dua mode tunggangan iaitu “Rain” dan “Road”. Automatic Stability Control (ASC) pula didatangkan sebagai satu ciri standard. Ciri-ciri ini membolehkan BMW S 1000 XR baharu untuk memenuhi keperluan individu, pada masa yang sama menawarkan tahap keselamatan tunggangan yang tinggi.
Untuk prestasi yang lebih sporty, BMW S 1000 XR baharu boleh dipasang dengan pilihan tunggangan Pro yang menambah dua lagi mode tunggangan iaitu “Dynamic” dan “Dynamic Pro”, ciri Dynamic Traction Control (DTC) serta sistem standard ASC.
BMW R 1200 RS (RM 101,900 + GST, tanpa insurans)

BMW R 1200 RS baharu ialah wakil klasik dalam segmen sports tourer. Ia dikuasakan enjin boxer 1,170cc flat twin, enjin DOHC sama yang menggerakkan model BMW R 1200 GS, BMW R 1200 GS Adventure dan BMW R 1200 RT baharu. Output adalah 125hp dan tork mencecah 125Nm.
Sepertimana model S 1000 XR, model ini juga boleh dilengkapkan dengan pilihan suspensi elektornik BMW Motorrad Dynamic ESA (Electronic Suspension Adjustment) generasi terbaru. Ciri ini mampu menawarkan tahap keselamatan, prestasi dan keselesaan yang terbaik kerana peredam ini akan mengadaptasi kondisi permukaan jalan secara automatik untuk disesuaikan dengan situasi tunggangan. Sebagai contoh, ketika berada dalam talaan “Road”, Dynamic ESA menawarkan tahap redaman yang sesuai pada apa jua situasi tunggangan atau beban yang dibawa.
Motosikal-motosikal baharu BMW Motorrad ini turut hadir bersama program pembiayaan khas selama empat tahun daripada BMW Credit Malaysia. Ia menawarkan pembelian BMW S 1000 XR dengan bayaran bulanan bermula RM1,588 dan BMW R 1200 RS bermula RM 1,488 sebulan.