[TERKINI] Polis Kenal Pasti Peserta Program Motivasi Rumah Tangga eHati – Amaran Tangkapan Jika Enggan Bekerjasama – Ikuti Perkembangan Di Sini
DREBAR

BMW World Malaysia membuka tirai

Astro Publication 17/04/2015 | 06:22 MYT

BMW World sudah boleh mula dikunjungi bermula hari ini, dan dengan yakin kami katakan bahawa ini satu acara yang akan memuaskan anda, apatah lagi jika anda seorang peminat BMW. Ini adalah kali pertama acara sepertinya dianjurkan, dan merupakan satu inisiatif BMW Group Malaysia – merangkumi BMW, MINI dan Motorrad – yang akan berlangsung selama tiga hari dan sekaligus menampilkan sehingga enam model baharu. Bahkan, ada ‘konsep’ yang pertama kali dibawa ke rantau ini.

Kereta yang dimaksudkan adalah 328 Hommage yang dibuat sebagai ‘penghargaan’ untuk kereta lumba BMW 328 yang aktif digunakan pada era 30-an. Ia dianggap sebagai antara kereta lumba paling menawan pada zamannya, dan semestinya antara yang paling banyak mendapat kejayaan.

Dengan rekaannya yang rendah, sarat dengan penggunaan plastik diperkuatkan gentian karbon, dan dengan bentuk roadster, 328 Hommage ini jelas membawa semangat ‘kereta lumba’.

Selain dari itu, Motorrad pula membawa BMW Concept Roadster yang pertama kali menampakkan diri di negara ini.

Untuk kenderaan standard, anda akan dapat melihat model-model terbaharu yang diperkenalkan khas di BMW World Malaysia – termasuk BMW i8, BMW X6, 2 Series Active Tourer dan MINI John Cooper Works.

Sewaktu majlis pembukaan BMW World ini, pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif BMW Group Malaysia, Alan Harris berkata, “Kami di BMW sentiasa percaya tentang perlunya mencipta pengalaman menyeluruh yang tidak dapat dilupakan oleh para pelanggan. Jadi kami ingin melakukannya menerusi satu ruang yang menyampaikan intipati jenama yang kami bawa. Kami harap dengan pameran BMW World Malaysia, para pelanggan akan dapat merasai pengalaman jenama yang unik.”

“Dalam tiga bulan pertama tahun 2015, kami di BMW Group Malaysia telah menyerahkan sebanyak 1,729 kenderaan BMW, MINI dan Motorrad kepada pelanggan. Prestasi ini nyata selari dengan apa yang kami lihat pada industri automotif Malaysia berikutan spekulasi ke atas harga kenderaan selepas pelaksanaan GST,” kata Harris.

BMW Group Malaysia turut mengumumkan bahawa pihaknya telah menyemak semula harga semua kenderaan keluarannya, termasuk Motorrad. Hasilnya, harga model BMW dan MINI turun sehingga 1.9%. Sementara harga BMW Motorrad pula turun sehingga 18%.

BMW World Malaysia akan berlangsung sehingga Ahad ini. Lekas! Anda perlu membeli tiket untuk memasuki dewan pameran dan wang yang dikumpulkan kemudian akan diserahkan kepada badan kebajikan terpilih.
# # BMW World #BMW