KUALA LUMPUR: Majlis Mesyuarat Pre-Council Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang dijadualkan berlangsung di Menara Dato' Onn malam ini telah diubah menjadi mesyuarat secara maya.

Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memberitahu Astro AWANI, tiada sebarang mesyuarat atau perjumpaan secara bersemuka.

Biarpun tidak diberikan perincian, perubahan mesyuarat itu dipercayai terdapat individu dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen BN yang positif COVID-19.

Keputusan itu dipercayai hasil saringan yang dijalankan di Bangunan Parlimen, susulan Mesyuarat Khas, Penggal Ketiga Parlimen Keempat Belas (2021) yang bermula esok (Isnin).

Berdasarkan surat rasmi yang diperolehi Astro AWANI, mesyuarat pre-council malam ini sepatutnya bermula pukul 8 malam didahului dengan acara makan malam.

Surat itu ditandatangani Setiausaha Eksekutif BN, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz.

Terdahulu Astro AWANI melaporkan tiga Ahli Parlimen antara 35 individu yang didapati positif hasil ujian saringan yang dijalankan pada Jumaat.

Kesemua 35 individu berkenaan terdiri daripada Ahli-ahli Parlimen serta petugas-petugas Parlimen.

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Pengerusi BN mengesahkan beliau sedang menjalani kuarantin kendiri.

Namun Ahli Parlimen Bagan Datuk itu tidak menyatakan sama ada beliau dijangkiti COVID-19 atau sebaliknya.

Selain itu, sumber memberitahu, empat lagi Ahli Parlimen disahkan kontak rapat, namun identiti masih belum dapat dikenal pasti.