KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus mengadakan perbincangan dengan institusi perbankan dari semasa ke semasa untuk menambah baik proses dalaman dan prosedur berkenaan Individu Yang Mempunyai Pengaruh Politik (Pep).

Timbalan Menteri Kewangan II, Steven Sim Chee Keong berkata, BNM juga akan melihat dan menambah baik proses dalaman bagi mengimbangi kredibiliti sistem perbankan Malaysia dan daya saing sistem perbankan tersebut.

"Ini bukan satu dasar yang mendatangkan persepsi negatif kepada individu tetapi bersifatkan pencegahan kepada Pep kerana mereka diberi kuasa atas fungsi awam negara atau organisasi antarabangsa," katanya dalam sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh yang meminta Kementerian Kewangan menyatakan apakah kerajaan bersedia untuk mengkaji semula pelaksanaan dasar Pep dan kesan jika Malaysia tidak melaksanakannya.

Pep merujuk kepada ahli politik, individu yang sedang atau yang telah diamanahkan dengan fungsi awam utama sesebuah negara dan individu yang sedang atau diamanahkan dengan fungsi utama organisasi antarabangsa.

Menurut Sim, institusi-institusi perbankan perlu melakukan Usaha Wajar Pelanggan yang Dipertingkatkan (ECDD) bagi pelanggan berisiko tinggi termasuk Pep.

"Pelaksanaan ECDD bertujuan untuk mendapatkan maklumat dan kefahaman secara menyeluruh berkenaan pelanggan tersebut dan seterusnya memelihara sektor kewangan negara daripada sebarang risiko aktiviti jenayah kewangan," katanya.

Katanya, keperluan melaksanakan ECDD ini diwujudkan berdasarkan piawaian antarabangsa yang dikeluarkan oleh Pasukan Petugas Tindakan Kewangan (FATF), iaitu sebuah badan antarabangsa yang menetapkan piawaian perlu dipatuhi oleh semua bank, sama ada di dalam atau luar negara.

"Pematuhan Malaysia kepada piawaian antarabangsa tertakluk kepada penilaian bersama oleh ahli-ahli FATF," katanya.

Sehubungan itu, Sim berkata, negara akan terdedah kepada risiko penarafan yang tidak memuaskan sekiranya institusi kewangan tidak terus melaksanakan polisi berkaitan Pep dan penilaian negatif terhadap negara akan mengakibatkan kesan serius kepada urusan perbankan.

"Contohnya, rakyat Malaysia dan syarikat yang ditubuhkan di Malaysia akan dikenakan tahap penelitian dan pemantauan yang lebih ketat apabila berurusan dengan pihak luar negara dan ini akan menyukarkan pembukaan akaun serta membuat transaksi kewangan antara sempadan," katanya. - BERNAMA