KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang menilai impak ekonomi daripada konflik Asia Barat memandangkan krisis itu boleh berlarutan sehingga enam bulan, sekali gus menjejaskan bekalan minyak dan harga tenaga, kata Gabenor Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour.
Beliau berkata konflik Asia Barat menunjukkan betapa pantasnya peristiwa geopolitik boleh mempengaruhi pasaran tenaga.
Advertisement
“Kesan itu bergantung kepada tempoh konflik, tahap kerosakan infrastruktur utama khususnya, serta tahap gangguan terhadap logistik global.
“Bagaimana konflik itu memberi kesan kepada ekonomi dunia? Pertama, harga minyak yang lebih tinggi dan premium insurans penghantaran meningkatkan kos, mendorong kenaikan inflasi. Kedua, gangguan rantaian bekalan menjejaskan aliran barang dan perkhidmatan rentas sempadan, terutama input penting bagi sektor utama, seterusnya memberi tekanan terhadap pertumbuhan dan perdagangan,” katanya pada sesi penerbitan laporan utama BNM di sini, hari ini.
Abdul Rasheed berkata pasaran kewangan akan bertindak balas dengan peningkatan penghindaran risiko serta keadaan kewangan yang lebih ketat.
Oleh itu, bank pusat telah membangunkan beberapa senario untuk menilai kemungkinan tempoh dan tahap keterukan konflik tersebut manakala ketidaktentuan masih ketara berikutan perkembangan geopolitik yang sentiasa berubah, katanya.
“Senario asas adalah BNM mengandaikan konflik itu akan berlarutan antara satu hingga tiga bulan, manakala senario optimistik adalah tiga hingga enam bulan, dan senario pesimistik melebihi enam bulan,” katanya.
Abdul Rasheed berkata bank pusat juga sedang menilai tahap kerosakan infrastruktur serta gangguan lebih luas yang masih belum jelas pada peringkat ini, selain implikasinya terhadap rantaian bekalan global.
Dari segi harga minyak, unjuran asas BNM adalah antara US$70 hingga US$90 setong, dengan senario optimistik antara US$90 hingga US$100 dan senario pesimistik pada US$110 dan ke atas.
Beliau berkata unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus bagi tahun ini mengambil kira senario asas serta sebahagian risiko negatif.
“Bagaimanapun, jika keadaan menjadi lebih buruk ke arah senario yang lebih pesimistik, sudah tentu apa-apa sahaja boleh berlaku namun BNM sentiasa menilai semula unjurannya.
“BNM melakukan perkara yang sama tahun lepas memandangkan ketidaktentuan yang ketara. Dalam membuat unjuran, kami perlu meneliti melangkaui gangguan sementara dan mempertimbangkan faktor asas yang sebenar,” katanya.
Mengenai langkah domestik, Abdul Rasheed berkata usaha rasionalisasi subsidi yang sedang dilaksanakan termasuk pelarasan subsidi elektrik, air dan diesel, telah mengukuhkan kedudukan fiskal kerajaan serta mewujudkan penampan untuk menghadapi kemungkinan kejutan luaran.
Beliau berkata langkah terkini berkaitan pelarasan sementara kuota subsidi bulanan petrol BUDI95 mencerminkan komitmen kerajaan ke arah kedudukan fiskal yang lebih mampan.
Sasaran defisit fiskal adalah 4.3 peratus bagi tahun ini, selaras dengan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal, katanya.
“Kita perlu meneliti perkembangan peristiwa geopolitik serta kesannya terhadap pasaran global serta harga minyak, dan juga kadar faedah.
“Di situlah semua tindakan kerajaan diselaraskan buat masa ini,” katanya.
Beliau berkata terdapat keperluan untuk berhemat dan membuat persediaan sekiranya keadaan menjadi lebih buruk pada masa hadapan.
-- BERNAMA