Bank Negara Malaysia (BNM) diminta mendedahkan laporan audit pematuhan (compliance audit) ke atas semua bank tempatan yang memberi pinjaman kepada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, ia dilihat memberi peluang kepada ahli-ahli Parlimen dan orang ramai untuk menilai sendiri setakat mana keberhutangan 1MDB memberi risiko kepada kestabilan sektor perbankan negara.

"Pada 29 Januari 2015 lalu, Ambank Group Berhad (AMMB) mengumumkan secara mengejut peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutifnya Ashok Ramamurthy.

Beliau diumumkan akan kembali ke Australia and New Zealand Banking Group (ANZ) iaitu pemegang saham terbesar dalam AMMB.

"Saya dibekalkan dengan maklumat dalaman bahawa selain daripada Ashok Ramamurthy, dua orang lagi pegawai kanan Ambank juga telah meletakkan jawatan bersama-sama beliau.

"Berita pertukaran mengejut kepimpinan di Ambank ini berlalu dengan senyap tanpa mendapat perhatian media dan orang ramai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Rafizi memberitahu, dia dimaklumkan bahawa keputusan untuk menukar CEO oleh pengurusan AMMB itu bersabit dengan satu hutang berjumlah RM2 bilion yang diberikan kepada 1MDB bagi projek harta tanah Bandar Malaysia yang diusahakan oleh syarikat pelaburan strategik milik penuh kerajaan ini.

"Saya juga dimaklumkan bahawa isu ini mula timbul apabila laporan audit pematuhan (compliance audit) yang dijalankan secara berkala oleh Bank Negara Malaysia terhadap AMMB telah mengenal pasti beberapa pelanggaran (irregularities) dalam proses pemberian pinjaman berjumlah RM2 bilion itu oleh AMMB kepada 1MDB," jelasnya.

Katanya lagi, sejak beberapa tahun yang lalu, AMMB menguruskan beberapa urus niaga penting melibatkan 1MDB.

"Selain meluluskan hutang RM2 bilion ini, AMMB juga dilaporkan menguruskan penerbitan hutang (Islamic medium term notes) berjumlah RM5 bilion," ujarnya.

Tambahnya, dia menghargai ketegasan BNM yang menimbulkan beberapa pelanggaran ini di dalam laporan audit pematuhannya; seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

"Saya juga lega kerana pemegang saham AMMB nampaknya mengambil tindakan serta-merta selepas risiko hutang 1MDB yang membabitkan AMMB dilaporkan melalui audit pematuhan.

"Bagaimanapun, ini tidak mencukupi kerana risiko keseluruhan 1MDB kepada sektor perbankan negara belum dilaporkan secara telus," katanya.

Dalam pada itu, jelas Rafizi, soalan Parlimen bersabit keputusan audit BNM terhadap pinjaman 1MDB kepada Menteri Kewangan bagi sesi Parlimen akan datang juga sudah dihantar untuk diminta penjelasan lanjut.

"Jika tiada apa yang perlu disembunyikan, saya pasti Menteri Kewangan tiada halangan mendedahkan laporan-laporan audit oleh BNM ini," jelasnya.