'Boleh merokok di tempat awam, tapi...'

Asyraf Roslan
Disember 17, 2018 06:49 MYT
Perokok dibenarkan merokok pada jarak 10 kaki dari restoran atau kedai makan. -Bernama
Perokok yang mahu merokok di tempat awam seperti restoran dan kedai makan dibenarkan berbuat demikian, namun hanya pada jarak 3 meter atau 10 kaki dari premis terbabit.
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata demikian susulan pelaksanakan peluasan kawasan larangan merokok melibatkan semua restoran atau kedai makanan mulai 1 Jan 2019.
“Kita faham juga mengenai hak perokok ini , jadi kita benarkan mereka merokok 10 kaki (tiga meter) dari premis berkenaan,” katanya sepertimana dipetik portal Berita Harian.
Tambah beliau, pemilik premis atau pengusaha digesa supaya menaikkan tanda larangan merokok dan tidak menyediakan sebarang kemudahan untuk para perokok seperti bilik khas dan bekas membuang putung rokok.
BACA: Tempat makan bukan tempat merokok, larangan tetap diteruskan
BACA: Presma sokong larangan merokok tetapi dengan syarat...
BACA: Tiga NGO sepakat dalam penguatkuasaan larangan merokok
BACA: Isu larangan merokok perlu diselesaikan secara bersama - TPM
Di samping itu, beliau memberi jaminan bahawa pengusaha kedai makanan tidak akan dikenakan tindakan sekiranya terdapat perokok yang tidak mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan di premis mereka.
Pengusaha kedai makan dan restoran boleh mengemukakan aduan melalui talian ‘hotline’ 24 jam di 03-388942530 sekiranya berdepan perokok degil.
#Dr Lee Boon Chye #larangan #merokok #tempat awam #Timbalan Menteri Kesihatan #undang-undang