MALAYSIA
Bom dijumpai berhampiran Terowong Menora mungkin peninggalan perang - Polis
Polis mengambil masa hampir sejam bagi memusnahkan sebutir bom mortar yang ditemui di Kilometer 265, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Terowong Menora pada 30 Jun lalu. -Gambar fail/Sinar Harian
IPOH: Polis Perak sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan sebutir bom berhampiran Terowong Menora, Isnin lepas yang dipercayai merupakan peninggalan zaman Perang Dunia Kedua.
Ringkasan AI
- Polis Perak sedang menyiasat penemuan sebutir bom jenis mortar berhampiran Terowong Menora yang dipercayai peninggalan zaman Perang Dunia Kedua atau darurat.
- Penemuan bom menyebabkan penutupan laluan Lebuhraya Utara-Selatan antara Kuala Kangsar dan Ipoh, mengakibatkan kesesakan sejauh 15 kilometer atas faktor keselamatan.
- Ketua Polis Perak memohon maaf atas kesulitan kepada pengguna dan menegaskan langkah keselamatan perlu diambil bagi mengelakkan risiko letupan kepada orang awam.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, lokasi penemuan tersebut menimbulkan kemungkinan bahawa ia adalah bahan letupan lama sama ada daripada era Perang Dunia Kedua atau semasa zaman darurat.
“Daripada laporan awal, bahan tersebut disahkan sebagai bahan letupan jenis mortar. Siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti bagaimana ia boleh berada di kawasan tersebut.
“Memang negara kita pernah melalui fasa perang dan darurat. Jadi, tidak mustahil bahan-bahan letupan lama masih banyak tertinggal di kawasan tersebut termasuk di hutan dan kampung,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sempena Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis dan Serah Terima Tugas di Mes Pegawai Kanan Polis Perak di sini pada Selasa.
Noor Hisam turut memohon maaf kepada pengguna lebuh raya yang terjejas susulan penutupan dan lencongan laluan sekitar lokasi penemuan.
“Difahamkan penutupan laluan agak panjang dan menimbulkan kesulitan kepada pengguna, namun ia adalah langkah keselamatan yang perlu kerana dikhuatiri letupan pemusnahan boleh menyebabkan kejadian tidak diingini kepada orang awam,” katanya.
Penemuan bom di Kilometer 265 Lebuhraya Utara-Selatan Isnin lalu mengakibatkan penutupan sementara laluan antara Kuala Kangsar dan Ipoh bagi kedua-dua arah atas faktor keselamatan sehingga menyebabkan kesesakan trafik sejauh 15 kilometer.
Maklumat awal penemuan bom lama itu diterima daripada seorang pekerja kontrak yang menjalankan kerja-kerja pembersihan sekitar jam 9.30 pagi.
Terdahulu, Noor Hisam menyempurnakan pemakaian pangkat kepada Senior Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu yang menggalas tanggungjawab baharu sebagai Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Perak. -Sinar Harian