Bomba bantu turunkan jenazah 200 kilogram ke liang lahad

Vivi Sumanti
Disember 19, 2019 09:15 MYT
Khidmat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas digunakan bagi membantu menurunkan jenazah wanita berusia 29 tahun ke liang lahad. - Gambar ihsan BOMBA
Wanita menghidap penyakit misteri hingga berat badan naik mencecah 200 kilogram (kg) yang meninggal dunia malam tadi di Kampung Gaung, Tendong, di sini selamat dikebumikan.
Allahyarham yang berusia 29 tahun mengalami pendarahan luar biasa sebelum menghembuskan nafas terakhirnya jam 10.50 malam tadi.
Bagi menguruskan jenazah mangsa, khidmat anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas digunakan.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Shapawi Stapa berkata, pihaknya menerima panggilan khidmat masyarakat jam 2 petang tadi.
Katanya, pihaknya bersama 10 anggota bergegas ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Gaung, Tendong, di sini bagi urusan menurunkan jenazah ke liang lahad.
"Kami menggunakan tali dan diikat pada pengusung bagi tujuan menurunkan jenazah Allahyarham sambil dibantu ahli keluarga terdekat.
"Urusan menurunkan jenazah mengambil masa 25 minit sebelum kami serahkan kepada ahli keluarga untuk menyempurnakan urusan pengebumian," katanya.
Beliau berkata, kes ini merupakan antara yang kedua diuruskan pihak Bomba dan Penyelamat Pasir Mas.
Katanya, sebelum ini adik Allahyarham turut menggunakan khidmat bomba bagi menurunkan jenazah ke dalam liang lahad.
"Sebelum ini adik bongsu Allahyarham pernah berdepan dengan masalah yang sama kira-kira empat bulan lalu," kata beliau lagi.
#jenazah 200 kilogram #Kelantan #khidmat bomba #liang lahad #Pasir Mas #turunkan