Skip to main content

Malaysia

Bomba cadang wujud garis panduan keselamatan pengecasan EV di rumah

MELAKA, 28 Nov -- Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Nor Hisham Mohammad semasa sidang media pada majlis sambutan Hari Integriti JBPM 2025, hari ini.  --fotoBERNAMA
Nor Hisham turut menasihatkan pemilik EV yang memasang pengecas di rumah supaya menggunakan pengecas mematuhi piawaian keselamatan dan mendapatkan khidmat syarikat berdaftar serta bertauliah bagi kerja pemasangan. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mencadangkan kepada kerajaan untuk mewujudkan garis panduan keselamatan pengecasan kenderaan elektrik (EV) di kediaman susulan peningkatan penggunaan jenis kenderaan itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata garis panduan berkenaan penting kerana pemantauan JBPM terhadap pendawaian di kediaman adalah terhad, khususnya pendawaian selepas pemutus litar miniatur (MCB).

Beliau berkata berdasarkan rekod dalam tempoh tiga tahun lepas, JBPM merekodkan kira-kira 25 kes kebakaran melibatkan kenderaan EV daripada empat kategori.

“Antara hipotesis yang sedang diteliti adalah kemungkinan kebakaran berpunca daripada kenderaan itu sendiri, pengecas, stesen pengecas atau pendawaian yang menghubungkan sistem berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hub Kemahiran Kebombaan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Nor Hisham berkata jumlah kes kebakaran berkaitan kenderaan EV tidak menunjukkan peningkatan mendadak dari tahun ke tahun.

Mengenai kebakaran sebuah kenderaan EV yang sedang dicas di sebuah rumah teres dua tingkat di Cheras pada Ahad lepas, beliau berkata punca kejadian masih dalam siasatan.

Nor Hisham turut menasihatkan pemilik EV yang memasang pengecas di rumah supaya menggunakan pengecas mematuhi piawaian keselamatan dan mendapatkan khidmat syarikat berdaftar serta bertauliah bagi kerja pemasangan.

 “Proses mengecas kenderaan EV biasanya mengambil masa tujuh hingga lapan jam secara berterusan. Justeru, risiko kebakaran akibat masalah elektrik tetap ada,” katanya.

Mengenai Hub Kemahiran Kebombaan, Nor Hisham berkata program itu adalah kolaborasi JBPM dengan Human Resource Development Corporation (HRD Corp), antara lain bagi membantu operator bangunan menyediakan Pengurus Keselamatan Kebakaran dan Pegawai Keselamatan Kebakaran di bangunan yang digazetkan di bawah perakuan bomba.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement