MALAYSIA

Bomba guna helikopter hantar makanan ke pos Orang Asli terputus hubungan di Gua Musang

Bernama 19/01/2026 | 08:15 MYT
Operasi itu menggunakan sebuah helikopter MI-17-IV milik Unit Udara JBPM dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Subang, Selangor.
GUA MUSANG: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini menamatkan operasi penghantaran baki bekalan makanan kepada penduduk Orang Asli di pedalaman Gua Musang, melibatkan penghantaran sebanyak 582 bakul makanan dengan berat keseluruhan melebihi 10.8 tan.


Ringkasan AI
  • Unit Udara JBPM menamatkan operasi penghantaran baki bekalan makanan ke Orang Asli di Gua Musang, dengan 582 bakul makanan melebihi 10.8 tan, menggunakan helikopter MI-17-IV dan melibatkan 22 anggota.
  • Operasi tersebut bermula sejak 6 Januari lalu, dengan penghantaran awal seberat 6,894 kg, manfaatkan lebih 17 tan bekalan ke 3,824 penduduk Orang Asli di 43 kampung pedalaman sekitar Gua Musang.
  • Operasi dijalankan kerana laluan darat terputus akibat cuaca buruk, menyebabkan keadaan berselut, dan melibatkan lapan penerbangan ke lima pos pedalaman Orang Asli yang terjejas.


Ketua Cawangan Pengurusan Operasi Bahagian Udara JBPM, Mohd Ruzaidi Ramlee berkata operasi itu menggunakan sebuah helikopter MI-17-IV milik Unit Udara JBPM dari Pangkalan Udara Wilayah Tengah, Subang, Selangor, dengan kekuatan 22 anggota.

Beliau berkata operasi yang bermula semalam dan berakhir hari ini melibatkan lapan penerbangan ke lima pos pedalaman Orang Asli yang terjejas hubungan jalan darat.

"Sebanyak lima penerbangan semalam menghantar lebih 6.6 tan bekalan ke tujuh kampung di Pos Simpor, Pos Bihai, Pos Belatim dan Pos Gob.

"Sementara itu, tiga lagi penerbangan hari ini menyalurkan lebih 4.1 tan bekalan ke dua kampung di Pos Balar," katanya kepada pemberita di sini hari ini sambil menambah keadaan cuaca sepanjang operasi adalah baik.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli Kelantan dan Terengganu Mohd Faedzyal Mohamed berkata operasi penghantaran bantuan telah bermula sejak 6 Jan lepas dengan penghantaran awal sebanyak 383 beg makanan seberat 6,894 kilogram sebelum ditangguhkan.

Beliau berkata 3,824 penduduk Orang Asli di 43 kampung pedalaman sekitar Gua Musang menerima manfaat apabila lebih 17 tan bakul makanan berjaya disalurkan melalui pengangkutan udara sepanjang musim MTL kali ini.

Sebelum ini, pada 9 Januari lepas, operasi penghantaran lebih 17 tan bekalan makanan asas ke kawasan pedalaman terpaksa ditangguhkan susulan cuaca buruk, selepas laluan darat terputus akibat kerosakan teruk dan keadaan berselut disebabkan Monsun Timur Laut.

-- BERNAMA


#Gua Musang #Orang Asli #terputus hubungan #JBPM