Bomba jalan kaki 6 kilometer bawa pesakit strok ke PPS

Sinar Harian
September 16, 2021 22:00 MYT
Terpaksa berjalan kaki sejauh enam kilometer di laluan berlumpur antara cabaran perlu ditempuh sepasukan anggota bomba ketika operasi memindahkan pesakit strok ke PPS di Kampung Timpangoh Sugud.
PENAMPANG: Terpaksa berjalan kaki sejauh enam kilometer di laluan berlumpur, menjadi antara cabaran yang perlu ditempuh sepasukan anggota bomba ketika operasi memindahkan seorang pesakit strok ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kampung Timpangoh Sugud, di sini, pada Khamis.
Wanita warga emas yang dikenali sebagai Soubiron, 66 tahun itu dipindahkan ke PPS Rumah Kelab Kompleks Sukan, di sini selepas rumahnya dinaiki air akibat banjir.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Misran Bisara berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.36 petang.
Katanya, menurut laporan terdapat seorang wanita yang mengalami strok minta dipindahkan ke PPS.
"Anggota bomba mengalami kesukaran ke lokasi mangsa kerana laluan dipenuhi lumpur dan pokok tumbang akibat tanah runtuh dan banjir.
"Pasukan bomba terpaksa berjalan kaki sejauh tiga kilometer untuk ke lokasi mangsa dan balik ke jalan besar dengan mengusung mangsa menggunakan pengusung sebelum dihantar ke PPS dengan menaiki lori," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Khamis.
Misran berkata, mangsa dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan operasi ditamatkan pada jam 4.53 petang.
Sebelum itu, seramai tujuh anggota termasuk seorang pegawai terlibat dalam operasi terbabit.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/161859/BERITA/Semasa/Bomba-jalan-kaki-6-kilometer-bawa-pesakit-strok-ke-PPS
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
#anggota bomba #pindah pesakit #laluan berlumpur #banjir