MELAKA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka mengesahkan tiada mangsa terperangkap dalam insiden runtuhan sebuah rumah kedai dua tingkat yang sedang dalam proses ubah suai di Taman Kota Laksamana semalam, selepas operasi pencarian serta pengesahan bersama-sama agensi berkaitan.
Pengarah JBPM Melaka, Mohd Zaidi Ma’at berkata, pengesahan itu dibuat hasil pemeriksaan dan operasi mencari yang dijalankan pasukan bomba di lokasi kejadian, selain siasatan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan pemilik premis.
"Pasukan bomba telah melaksanakan pencarian di lokasi runtuhan dan mendapati tiada mangsa terlibat dalam runtuhan bangunan tersebut.
"Hasil siasatan bersama-sama saksi kejadian dan pemilik premis mendapati empat pekerja, iaitu tiga lelaki warga Bangladesh berusia lingkungan 30-an dan seorang lelaki Rohingya berusia 40-an, dipercayai selamat daripada runtuhan serta tiada mangsa yang terperangkap," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, runtuhan rumah kedai berukuran 30x80 kaki persegi itu turut menghempap dua kenderaan yang diletakkan berhampiran, iaitu sebuah Toyota Vios dan sebuah Proton Iriz.
Mohd Zaidi berkata, sebaik selesai memastikan lokasi kejadian selamat serta tiada risiko keberbahayaan kepada orang awam, operasi bomba ditamatkan pada 11.18 malam sebelum kawasan operasi diserahkan kepada MBMB untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, MBMB mengeluarkan notis pemberitahuan kepada orang awam yang melarang mereka menghampiri, melintasi garisan keselamatan atau memasuki bangunan berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Menurut notis itu, larangan berkenaan dikeluarkan bagi menjaga keselamatan orang awam berikutan risiko runtuhan, kejatuhan serpihan dan bahaya lain yang boleh mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.
Terdahulu, media melaporkan sebuah rumah kedai dua tingkat yang dipercayai sedang menjalani kerja-kerja pengubahsuaian runtuh kira-kira 4.45 petang sebelum disusuli satu lagi runtuhan lebih besar pada 5.23 petang.
-- BERNAMA