Bomba Sarawak akan tukar syif kerja jika banjir semakin meruncing

Bernama
Februari 10, 2016 05:11 MYT
Seorang surirumah, Hamimah Seman dibantu anaknya membersihkan ruang dapur rumah mereka selepas banjir surut di Kampung Sungai Maong hari ini. - Gambar Bernama
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak akan menukar syif bekerja anggotanya dari 12 jam kepada 24 jam sekiranya keadaan banjir semakin meruncing di negeri itu.
Penolong Pengarah Operasi Farhan Sufyan Borhan berkata, perubahan syif itu jika dilaksanakan akan melibatkan 503 anggota pada satu-satu masa.
"Kita mempunyai seramai 990 anggota operasi dan pada masa ini 340 orang bertugas untuk satu syif," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Katanya, hanya 20 peratus daripada keseluruhan anggota dibenarkan bercuti pada masa ini.
JBPM juga katanya akan menggerakkan logistik yang terdiri daripada dua helikopter, 115 kenderaan dan 45 bot bagi operasi membantu mangsa banjir.
Helikopter yang berpangkalan di Miri serta logistik lain di balai-balai bomba di Sarawak kini diletak dalam keadaan bersiap sedia untuk digunakan.
Menurutnya, daripada 115 kenderaan itu, 84 merupakan kenderaan pacuan empat roda, 15 lori, 13 van dan tiga bas.
BACA: Mangsa banjir di Sarawak meningkat berikutan fenomena air pasang besar
BACA: Mangsa banjir di Sarawak meningkat malam tadi
BACA: Banjir di Sarawak makin kritikal, pemantauan ditingkatkan
Manakala bot pula terdiri daripada 39 bot aluminium, masing-masing tiga buah bot jenis fiber dan Kevlar.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak beriadah di kawasan pantai kerana keadaan ombak adalah besar dan arus deras bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Selain kawasan pantai, orang ramai juga juga diingatkan agar tidak melakukan aktiviti di sungai seperti berkelah bagi mengelakkan kemungkinan kemunculan kepala air berikutan cuaca hujan lebat di kawasan hulu sungai.
#Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak akan menukar syif bekerja anggotanya dari 12 jam kepada 24 jam sekiranya keadaan banjir semakin meruncing di negeri itu #Sufyan Borhan