Bomba selamatkan empat beradik terkandas di Hutan Lipur Lata Payung

Astro Awani
Ogos 2, 2020 04:08 MYT
Pihak bomba mendapati empat mangsa yang terdiri dari dua lelaki dan perempuan dewasa terperangkap di seberang sungai. - Foto Astro AWANI
Empat beradik terpaksa menempuh saat mendebarkan apabila terkandas di Hutan Lipur Lata Payong akibat berlakunya kepala air.
Kesemua mangsa yang berusia antara 18 hingga 38 itu dikatakan berkunjung ke hutan berkenaan untuk menjala ikan.
Menurut Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Setiu, Zull Azman Jamaludin pihaknya menerima panggilan kecemasan itu kira-kira jam 7.22 Sabtu malam.
“Seramai 14 kekuatan dikejarkan ke lokasi kejadian bagi tugas mencari dan menyelamat.
“Sejurus tiba, pihak kami mendapati empat mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dan perempuan dewasa terperangkap di seberang sungai,” katanya.
Zull Azman berkata, pihaknya meneruskan operasi dengan menyeberangi sungai dan kesemua mangsa berjaya ditarik ke tebing.
Beliau berkata operasi ditamatkan pada jam 10.12 malam dan kesemua mangsa selamat dan diserahkan kepada ahli keluarga mereka.
#bomba #empat beradik #hutan lipur #kepala air #Lata Payung #mangsa #operasi #Setiu