Bomba selamatkan empat wanita sesat di Air Terjun Telaga Tujuh, Langkawi

Agensi
Disember 2, 2020 13:00 MYT
Mohamadul Ehsan berkata, JBPM menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 1.08 tengah hari. - Gambar fail
LANGKAWI: Empat wanita termasuk seorang remaja yang sedang melakukan aktiviti mendaki di kawasan Air Terjun Telaga Tujuh, di Gunung Mat Cincang dekat sini cemas selepas mereka terkandas dan tersesat, tengah hari tadi.
Bernama melaporkan, semua mangsa berusia 18 hingga 25 tahun dikatakan sedang bercuti di pulau ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada 1.08 tengah hari.
"Seorang pegawai dan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Langkawi telah digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan. Mangsa didapati tersesat pada ketinggian kira-kira 61 meter dari kaki gunung tersebut.
"Anggota bomba yang melakukan pendakian kemudian telah menemukan kesemua mangsa dan membawa mereka turun," katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Mohamadul Ehsan berkata kesemua mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Operasi tamat sepenuhnya pada 4 petang," katanya.
-- BERNAMA
#Langkawi #JBPM #mangsa #remaja #operasi #wanita