Bomba selamatkan penghuni rumah dari asap tebal kebakaran

Aida Aziz
Disember 17, 2019 00:06 MYT
Mangsa berjaya diselamatkan pihak bomba dengan menggunakan tangga untuk keluar dari rumah itu. - Foto JBPM Perak
Tindakan pantas anggota bomba awal pagi ini berjaya menyelamatkan seorang penghuni rumah dari terhidu asap tebal, akibat kebakaran yang berlaku di rumahnya di Puncak Iskandar, di sini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa yang dikenali sebagai Haikal Imran Ismail, 19 tahun, berjaya diselamatkan menggunakan tangga.
Menurutnya, Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada jam 1.18 pagi.
"Sampai di lokasi, bomba mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah kelas A yang terbakar, musnah 10 peratus, di hadapan rumah.
"Turut terbakar, sebuah kereta jenis Nazaria yang musnah 40 peratus dan tiga buah motosikal, masing-masing musnah terbakar 90 peratus.
"Seorang mangsa berjaya diselamatkan oleh pihak bomba dengan menggunakan tangga untuk keluar dari rumah itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, anggota bertindak menggunakan satu aliran sesalur bantu mula dari tangki jentera sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya.
Operasi yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Harina Abdul Wahab itu tamat kira-kira pukul 2 pagi.
#bomba #Haikal Imran Ismail #Harina Abdul Wahab #JBPM #JBPM Perak #kebakaran #kereta #mangsa #motosikal #musnah terbakar #operasi #Puncak Iskandar #selamat #Seri Iskandar