Bomba selamatkan wanita tersepit kenderaan terlanggar pokok

Nur Fazlizai Ali
Januari 26, 2021 22:59 MYT
Anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi memotong dan mengumpil pintu bahagian pemandu sebelum membawa keluar mangsa dari kenderaan. - Foto Astro AWANI
KUALA NERUS: Seorang wanita terpaksa menahan kesakitan hampir 20 minit selepas kenderaan yang dipandunya merempuh sebatang pokok.
Kemalangan berlaku di Kampung Wakaf Tembesu di sini, kira-kira jam 7.50 malam, pada Selasa.
Ketika kejadian, mangsa Fadzihah Zepari, 35 tahun, dikatakan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Kuala Berang, Hulu Terengganu.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, Perodua Alza yang dipandunya dipercayai terbabas sebelum melanggar sebatang pokok dan menyebabkan kakinya tersepit.
Komander Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Nerus, Mohd Zulkifli Abdulah berkata, sejurus menerima panggilan, seramai tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Pergerakan itu agak terbatas, jadi kita terpaksa mengeluarkan mangsa dengan berhati-hati untuk mengurangkan risiko, daripada lebih cedera parah.
"Kita menggunakan peralatan khas iaitu peralatan rescue cutter bagi memotong dan juga mengumpil, bagi memudahkan kerja-kerja mengeluarkan mangsa," kata Mohd Zulkifli.
Jelasnya, pihak bomba mengambil masa 15 minit bagi mengeluarkan mangsa dengan mengumpil pintu bahagian pemandu menggunakan alat pemotong.
Mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.
#kemalangan #langgar pokok #kaki tersepit #bomba #Kuala Nerus #HSNZ #menahan sakit #rescue cutter #terbabas