KOTA TINGGI: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi menerima lebih 20 panggilan penyelamatan dan khidmat khas sejak banjir melanda daerah ini pada Khamis lalu.

Ketua BBP Kota Tinggi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Shawaluddin Ami Nordin berkata, panggilan tersebut melibatkan kerja-kerja menyelamat dan memindahkan mangsa banjir yang terperangkap di rumah dalam kawasan kampung, taman dan sekitar bandar ini.

"Selain itu pihak bomba turut menerima panggilan khidmat khas bagi bantuan menangkap ular di kawasan lepasan banjir," katanya ketika ditemui.

Dalam pada itu katanya, orang awam masih tidak mengendahkan keselamatan apabila bermain air banjir yang dikhuatiri boleh mengundang bahaya.

Susulan itu pihaknya menggerakkan aset dan anggota untuk memantau serta khidmat nasihat kepada orang ramai tentang bahaya semasa musim banjir.

Katanya, khidmat nasihat diberikan terutama orang awam yang tidak mekakai baju keselamatan ketika berada di kawasan banjir termasuk kasut yang tidak sesuai boleh menyebabkan cedera berlaku kemalangan tidak diingini.

"Kita dapati menjadi trend dalam keadaan banjir ini penduduk tidak pentingkan aspek keselamatan dan apa kita bimbangkan binatang berbisa, benda bahaya seperti kaca yang boleh sebabkan cedera," katanya.

Menurutnya, 19 anggota melibatkan dua buah lori, dua bot dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan bagi pemantauan itu yang turut melibatkan pelbagai agensi lain seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pihak pentadbiran pejabat daerah.

Setakat jam 10 pagi, Kota Tinggi masih lagi menjadi daerah paling teruk terjejas dan paling ramai mangsa banjir apabila 4,360 penduduk daripada 1,174 keluarga di pindahkan ke 24 pusat pemindahan sementara (PPS).

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Azmi Rohani berkata, daerah kedua terjejas teruk adalah di Kluang 1,163 penduduk (341 keluarga di 8 PPS); Johor Bahru melibatkan 1,301 penduduk (343 keluarga di 7 PPS) diikuti Segamat 103 penduduk (29 keluarga 4 PPS).

"Di Kulai pula 90 penduduk (24 keluarga 1 PPS); Batu Pahat 83 penduduk (24 keluarga 2 PPS) dan Pontian 22 penduduk (5 keluarga 1 PPS)," ujarnya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor memberitahu, secara keseluruhan terdapat 7,122 mangsa banjir melibatkan 1,940 keluarga dari tujuh daerah terbabit yang ditempatkan di 47 PPS. - Sinar Harian