MALAYSIA

Bomba terima 30 jentera FRT bernilai RM60 juta - Nga

Bernama 09/02/2026 | 15:45 MYT
Nga pada Penyerahan Jentera Bomba dan Ops Siaga Raya 2026 di sebuah pusat membeli belah hari ini. - Gambar Bernama
PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) hari ini menerima 30 jentera Fire Rescue Tender (FRT) baharu keseluruhannya bernilai RM60 juta.


Ringkasan AI
  • JBPM menerima 30 jentera Fire Rescue Tender (FRT) baru bernilai RM60 juta, hasil kerjasama dengan China melalui inisiatif pintar.
  • Jentera baharu ini adalah penggantian kepada jentera usang melebihi 20 tahun, memperkukuh keupayaan operasi JBPM dan meningkatkan keselamatan rakyat.
  • Model kerjasama JBPM menjadi contoh kepada kerajaan dalam pengurusan kos dan tempoh perolehan yang lebih efisien, menjadikan perolehan jentera bomba lebih berkesan dan efektif.


Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata jentera berkenaan diperoleh menerusi inisiatif pintar melalui model Kerjasama Awam-Swasta-Rakyat bagi penggantian jentera usang melebihi usia 20 tahun.

"Hubungan diplomatik yang akrab antara China dan Malaysia kini membuahkan hasil. Ada jentera bomba yang uzur dan daif kini kita tukar (jentera baharu) dengan rakan strategik dari China.

"Hari ini dapat 30 kereta bomba canggih hasil kerjasama strategik antara JBPM dan juga negara China atas hasil perbincangan rundingan antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri China Li Qiang," katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jentera Bomba dan Ops Siaga Raya 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Duta Besar China Ke Malaysia Ouyang Yujin dan Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad.

Terdahulu dalam ucapannya, Nga berkata model kerjasama yang dipelopori JBPM menjadi tanda aras baharu kepada perolehan kerajaan terutamanya dalam pengurusan kos dan tempoh masa perolehan yang lebih efisien.

"Saya merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak CLW Automobile Sdn Bhd. Langkah ini bukan sahaja memperkukuh keupayaan operasi pihak bomba, malah memastikan keselamatan rakyat terus dijaga dengan lebih efektif dan berkesan," katanya.

Sebelum ini, Nor Hisham berkata JBPM bakal menerima 30 unit jentera FRT yang baharu sekali gus mempertingkatkan kompetensi tindak balas terhadap panggilan kecemasan.

-- BERNAMA

#JBPM #Fire Rescue Tender #panggilan kecemasan #tanda aras