Bomba turunkan lelaki separa sedar ketika mendaki di Bukit Batu Putih

Aida Aziz
November 6, 2022 04:03 MYT
Anggota bomba memberi rawatan awal kepada mangsa dan menurunkannya dari kawasan bukit dengan menggunakan pengusung. - Foto JBPM Perak
GOPENG: Khidmat anggota bomba diperlukan bagi menurunkan seorang lelaki tempatan yang berada dalam keadaan separa sedar, ketika melakukan aktiviti mendaki di Bukit Batu Putih, di sini, hari ini.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mangsa dikenali sebagai Mohd Shaffiq Mohd Nasir, 35 tahun, yang dikatakan datang ke kawasan itu bersama tujuh rakan, untuk mendaki.
"Anggota bomba terima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.58 pagi, seterusnya anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng bergegas ke lokasi kejadian.
"Didapati terdapat seorang mangsa lelaki, dipercayai dalam keadaan lemah, ketika mahu turun dari bukit tersebut.
"Mangsa mengalami kepenatan melampau dan berada dalam keadaan separa sedar. Dia terpaksa memerlukan bantuan untuk turun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kata jurucakap itu lagi, anggota bomba memberi rawatan awal kepada mangsa dan menurunkannya dengan menggunakan pengusung.
"Jarak mangsa dari kaki bukit ke lokasi itu kira-kira 300 meter.
"Seterusnya, mangsa diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi tindakan susulan," tambahnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Nazir Mohd Alip itu tamat pada jam 10.58 pagi.
#separa sedar #JBPM Perak #mendaki #Bukit Batu Putih