Bon Odori galakkan persahabatan antara Malaysia dan Jepun - Duta Takahashi

Bernama
Julai 16, 2022 15:14 MYT
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko (kiri) ketika hadir ke Festival Bon Odori Ke-46 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam hari ini. - Foto BERNAMA
SHAH ALAM: Festival tahunan Bon Odori yang telah dianjurkan hampir setengah abad di negara ini adalah usaha untuk mempromosi dan mengeratkan persahabatan antara Malaysia dan Jepun, kata Duta Jepun ke Malaysia.
Katsuhiko Takahashi berkata Festival Bon Odori ke-46 yang diadakan hari ini adalah bukti hubungan dua hala yang mesra yang dinikmati oleh kedua-dua negara.
“Jepun sangat menghargai kepelbagaian budaya dan toleransi Malaysia. Kepelbagaian dan toleransi itu telah menggerakkan usaha untuk mempromosikan hubungan dua hala dalam semua aspek termasuk Festival Bon Odori ini.
“Tahun ini menandakan ulang tahun ke-65 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Jepun serta sambutan ulang tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur, Malaysia. Jawatankuasa penganjur Bon Odori berharap upacara ini menjadi satu lagi peluang untuk mengukuhkan lagi hubungan rakyat Jepun dan Malaysia,” katanya pada sidang media Festival Bon Odori ke-46 di sini.
Takahashi berkata kira-kira 1,500 syarikat Jepun melabur di Malaysia dengan menawarkan peluang pekerjaan serta menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Festival Bon Odori 2022 di Kuala Lumpur Dai Hoshiai berkata dianggarkan 35,000 pengunjung menghadiri Festival Bon Odori yang bermula pada 7 malam.
Beliau berkata festival itu tidak diadakan sejak dua tahun lepas berikutan pandemik COVID-19.
Festival ini adalah acara kebudayaan yang memaparkan tarian rakyat Jepun dan ia disambut setiap tahun sebagai acara pada musim panas yang diadakan di setiap daerah di setiap bandar di Jepun.
“Ini hanyalah acara kebudayaan. Sudah pasti kami buka (Bon Odori) kepada semua orang,” katanya.
-- BERNAMA
#Bon Odori #festival tahunan #Duta Jepun ke Malaysia #Katsuhiko Takahashi #Hubungan dua hala #Malaysia #Jepun #Dasar Pandang ke Timur