MALAYSIA
Bonsai daripada hobi kepada punca rezeki tambahan
Bonsai jenis jari lipan atau mata udang yang diusahakan Nazrol Naim di kediamannya di Taman Casurina. - Gambar Bernama
SEREMBAN: Bagaikan sebuah 'galeri hidup', itu perumpamaan yang sesuai untuk menggambarkan deretan bonsai pelbagai bentuk dan seakan-akan miniatur pokok besar di hutan yang disusun di hadapan sebuah rumah di Taman Casurina di sini.
Hasil sentuhan penolong pengurus di sebuah kilang Nazrol Naim Nijar, 46, yang menjadikan seni bonsai sebagai hobi itu bermula sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekali gus mampu menjana pendapatan tambahan.
"Saya bermula sekadar suka-suka ketika PKP kira-kira lima tahun lepas sebab banyak masa terluang, pada awalnya saya mula menanam sayur-sayuran tapi rasa macam cerewet penjagaannya kemudian saya cuba tanam bunga, namun rasa tiada cabaran.
"Saya kemudian terfikir untuk buat bonsai kerana tertarik dengan keunikannya dan mula cari maklumat mengenainya, selepas itu saya cari orang yang pakar untuk mengajar saya sebab belajar secara dalam talian sahaja mungkin tidak 'sampai', kena secara bersemuka," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata selain memberi ketenangan, seni bonsai juga melatih dirinya untuk lebih sabar dan teliti kerana proses membentuk dengan menggunakan dawai, memangkas serta menjaga pokok bersaiz kecil itu mengambil masa yang panjang.
Untuk satu pokok bonsai boleh mencapai sekurang-kurangnya empat ke lima tahun untuk mendapatkan bentuk yang diinginkan dengan penjagaan yang rapi termasuk pembajaan setiap dua minggu atau tiga bulan sekali bergantung kepada jenis, serta penyiraman dan pencahayaan yang baik.
Bapa kepada dua cahaya mata itu berkata beliau mempunyai 300 jenis pokok bonsai seperti cucur atap, jeliti, bebuas Taiwan, asam jawa, jambul kerikil dan ceri Barbados, ada antaranya dibeli bukan sahaja dari Negeri Sembilan, malah seluruh negara termasuk Terengganu, Johor dan Selangor.
"Ada bonsai saya beli yang dah separuh siap kemudian saya teruskan membentuknya, ada tumbuhan ini yang sudah berusia 15 ke 30 tahun," katanya sambil menambah idea mereka bentuk bonsai dengan merujuk pameran dan pertandingan yang dihadiri.
Selepas beberapa tahun mengusahakan hobi itu, beliau mengambil keputusan untuk menjual sebahagiannya di pasar mingguan atau jualan but kereta di sekitar negeri ini pada setiap minggu.
"Saya jual sebab dah terlampau banyak pokok itu di rumah, sambutan agak memberangsangkan, banyak peminat bonsai ini cuma mungkin pasarannya agak kecil, pembeli saya ada yang dari luar negeri termasuk dari Muar, Johor," katanya sambil berkata harga bergantung kepada jenis dan saiz bermula RM85 hingga RM3,500 sepasu.
Nazrol Naim turut bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada isterinya untuk meneruskan minat dalam 'dunia' bonsai, malah anak perempuan bongsunya berusia 10 tahun juga menunjukkan minat terhadap tumbuhan renek itu dan sering membantunya menyiram pokok dan mencabut rumput.
Ditanya mengenai perancangan masa hadapan, beliau berharap dapat terus memperluas usaha seni bonsai itu termasuk mahu menghasilkan sebuah kebun komuniti dan bertindak sebagai peneraju selain menyertai pertandingan untuk menimba lebih banyak pengalaman.
Pendedahan terhadap seni bonsai di negeri ini masih kurang dan berharap kerajaan negeri dapat memperluas ruang pameran atau menyediakan tapak khusus untuk bonsai dalam acara besar seperti Negeri Sembilan (NS) Fest bagi menarik lebih ramai penggemar baharu.
Beliau turut menasihatkan kepada individu yang baharu berjinak-jinak dengan seni bonsai supaya mencari guru dan belajar secara bersemuka, bukan sekadar mempelajarinya melalui laman sosial atau YouTube semata-mata.
"Belajar secara dalam talian tak sama dengan belajar depan mata. Bila ada guru, kita boleh terus tanya dan tengok cara yang betul, saya ketika awal-awal dahulu setiap minggu akan jumpa guru selain turut menyertai persatuan-persatuan bonsai dalam negara," katanya.
-- BERNAMA