Borneo Medical Centre (BMC) menggantung perkhidmatan bagi menjalankan pembersihan dan penyahkuman secara menyeluruh di hospital berkenaan.

Ini susulan seorang pesakit positif COVID-19 yang pernah mendapatkan rawatan di hospital itu meninggal dunia di rumahnya pada 18 Mac lalu.

Terdahulu pada 17 Mac, pesakit itu telah mendapat pelepasan yang dipohon untuk tidak menerima rawatan dari hospital berkenaan.

Dalam satu kenyataan, BMC memaklumkan bahawa setakat ini semua kakitangan dan doktor yang mempunyai hubungan rapat dengan pesakit telah dikuarantin dan melalui saringan kesihatan.

Kenyataan BMC bertarikh 21 Mac yang memaklumkan langkah serta merta yang dilakukan hospital itu bagi elak penularan COVID-19

"Pihak BMC telah melakukan kerja-kerja pembersihan dan penyahkuman (dekontaminasi) yang mematuhi Prosedur Kesihatan dan Keselamatan Negara yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dengan segera selepas kes tersebut dilaporkan.

"Langkah itu bagi memastikan keselamatan pesakit, kakitangan dan pelawat yang lain terjamin.

"Setakat ini, BMC menggantung perkhidmatan serta-merta untuk pesakit dalam dan luar termasuk kecemasan, penghantaran dan operasi pembedahan," katanya.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan BMC akan disambung semula seperti biasa pada 30 Mac 2020, jam 8.30 pagi.

Dalam pada itu, temu janji khas akan dibuat untuk pesakit yang rutin atau sedang menjalani haemodialisis, kemoterapi dan radioterapi.