Bot bawa pelarian Rohingya bolos rondaan penguat kuasa - Polis

Salim Aziz
Mac 2, 2019 09:45 MYT
NOOR MUSHAR: Pelarian itu dikesan menggunakan bot ikan dan mereka berjaya melepasi pasukan yang melakukan rondaan.
Bot yang membawa 35 pelarian Rohingya termasuk sembilan kanak-kanak pada Jumaat dipercayai bolos daripada rondaan yang dilakukan Pasukan Penguatkuasa Polis Marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Ketua Polis Perlis, Datuk Noor Mushar Mohd memaklumkan pelarian itu dikesan menggunakan bot ikan dan mereka berjaya melepasi pasukan yang melakukan rondaan.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kesemua pelarian itu diturunkan sindiket ketika air surut supaya memudahkan mereka jalan ke darat.
Bot ikan tersebut kemudian berpatah balik menghala ke arah laut.
Kes berkenaan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut.
Bagaimanapun, pasukan keselamatan sentiasa memperkemaskan kawalan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku di perairan negara.
Noor Mushar turut menjangkakan pendaratan kelompok kedua pelarian Rohingya, berdasarkan pendaratan pertama pada Jumaat yang melibatkan kaum wanita dan kanak-kanak.
Pada Jumaat, 26 pelarian wanita dan sembilan kanak-kanak warga Rohingya dijumpai keletihan di Pantai Sungai Belati dekat Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Perlis.
#APMM #bolos rondaan #bot ikan #kelompok kedua pelarian Rohingya #Kuala Sungai Baru #Noor Mushar Mohd #Pantai Sungai Belati #pelarian #Rohingya