Bot berpusing tanpa pemandu ditemui nelayan

Adie Sufian Zulkefli
Mei 30, 2020 03:45 MYT
Bot fiber yang dinaiki Nordin Saad ditemui berlegar-legar di 1.1 Batu Nautika di kawasan Muara Kuala Kedah, pada Jumaat. - Gambar Astro AWANI
Seorang nelayan, Nordin Saad, 52, dikhuatiri lemas selepas keluar ke laut pada pukul 7 pagi Jumaat.
Menurut Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim, Mahmad Faizal Ahmad, sebaik menerima laporan pada pukul 5 petang, Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim Langkawi (MRSC) melancarkan operasi dan menyelamat (SAR) sebaik menerima maklumat berhubung kejadian itu dari Jabatan Laut Kuala Kedah.
Mangsa, dilaporkan keluar ke laut seorang diri untuk menangkap ikan di kawasan perairan Kuala Kedah.

Katanya, bot fiber yang dinaiki mangsa ditemui dalam keadaan masih berpusing tanpa pengemudi di kawasan 1.1 Batu Nautika di kawasan Muara Kuala Kedah, pada Jumaat.

Mahmad Faizal berkata, bot itu kemudiannya dibawa ke jeti Kuala Kedah.

Beliau berkata, operasi SAR disambung semula pagi ini membabitkan anggota dan aset dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perikanan Malaysia serta dibantu beberapa bot nelayan tempatan.

#Jabatan Laut Kuala Kedah #nelayan dikhuatiri lemas #nelayan hilang #Nordin Saad #perairan Kuala Kedah