Bot dirempuh, nelayan jatuh sungai dikhuatiri lemas

Adie Sufian Zulkefli
September 19, 2020 03:36 MYT
Bot nelayan tempatan turut terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat Zulkifli (gambar kecil) yang dipercayai terjatuh ke dalam sungai selepas botnya dirempuh. - Foto PDRM
Seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki bersama abangnya dirempuh sebuah bot fiber di muara sungai berdekatan jeti Pengkalan Segantang Garam, Merbok, lewat malam tadi.
Mangsa, Zulkifli Mohamad, 52 tahun, dilaporkan keluar ke laut bersama abangnya, Jaafar.
Bot mangsa dipercayai dirempuh di bahagian belakang oleh sebuah bot fiber yang dipandu laju.
Sebaik pelanggaran berlaku, pemandu bot tersebut terus beredar melarikan diri.
Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai dan usaha mencari mangsa dijalankan.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad berkata, Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan pada jam 10.45 malam.
Usaha mencari dan menyelamat diteruskan pagi ini melibatkan beberapa bot agensi penguat kuasa iaitu termasuk Maritim Malaysia, Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.
Turut membantu pencarian, beberapa bot nelayan tempatan.
Menurut Mahmad Faizal, sektor pencarian meliputi kawasan seluas 12.54 batu nautika persegi.
#bomba #bot #bot dirempuh #bot fiber #hilang #jatuh sungai #JBPM #Kedah #Langkawi #lemas #mangsa #Merbok #MRSC Langkawi #muara sungai #nelayan #operasi #Pengkalan Segantang Garam #polis #siasatan #Sungai #Sungai Petani #terjatuh