Bot ekspres tersadai di beting pasir kerana jarak ketampakan terhad

Bernama
September 20, 2019 05:00 MYT
Jurucakap Lembaga Sungai-sungai Sarawak Sibu tidak menolak kemungkinan kejadian itu disebabkan cuaca berjerebu di sekitar kawasan itu. - Gambar hiasan
Seramai 12 penumpang berhadapan detik cemas apabila bot ekspres yang mereka naiki dari Sibu ke Kapit terlanggar beting pasir Sungai Rajang pagi ini.
Kejadian dipercayai berlaku akibat jarak ketampakan terhad berikutan cuaca berjerebu dan berkabus.
Seorang pemilik akaun Facebook, Alexson Banyah yang memuatnaik kejadian itu mendakwa kejadian itu berlaku pada pukul 6.15 pagi kerana juragan bot tidak dapat melihat arah yang ditujuinya.
Jurucakap Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) Sibu semasa dihubungi Bernama melalui aplikasi Whatsapp mengesahkan kejadian itu dan tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Beliau tidak menolak kemungkinan kejadian itu disebabkan cuaca berjerebu, namun keadaan paras air yang rendah disebabkan kemarau pada masa ini boleh juga menjadi antara penyebabnya.
"Kita akan dapat tahu punca sebenar selepas keterangan jurugan diambil nanti," katanya tanpa memberikan lokasi sebenar kejadian itu.
Tindakan pantas sebuah bot lain yang kebetulan lalu di tempat kejadian dapat menarik bot itu daripada terus tersadai. Bot berkenaan kemudian meneruskan perjalanan ke Kapit.
-- BERNAMA
#bot ekspres #Facebook #jarak ketampakan #jerebu #kabus #Kapit #kemalangan #kemarau #Lembaga Sungai-sungai Sarawak #paras air rendah #penumpang bot #Sarawak #Sibu #Sungai #Sungai Rajang #terlanggar beting pasir #WhatsApp