Bot karam: 11 rakyat Malaysia hanyut ke Filipina

Radhi Muslim
April 1, 2023 02:30 MYT
Berdasarkan maklumat yang diterima Markas Wilayah Laut 2 TLDM, bot yang dinaiki 11 mangsa itu telah terbalik akibat cuaca buruk. - Foto ihsan TLDM
SANDAKAN: Sebelas individu termasuk tiga kanak-kanak berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka karam sebelum hanyut ke perairan Filipina, sejak tiga hari lalu.
Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, pada Jumaat, pihaknya menerima maklumat sebuah Kapal Dagang Tomini Dynasty menjumpai 11 warga Malaysia di Perairan Sibutu, Filipina.
Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima, bot yang dinaiki 11 mangsa telah terbalik akibat cuaca buruk.
"Seterusnya, Kapal Diraja Paus (KD PAUS) diatur gerak untuk melaksanakan pertemuan bersama kapal dagang berkenaan di perairan Tanjung Labian bagi mengambil semua mangsa yang terlibat.
"Semua mangsa kemudiannya berjaya diambil lalu dibawa ke Pulau Tambisan dan diserahkan kepada Pasukan Polis Marin Lahad Datu untuk tindakan selanjutnya," katanya.
Menurut kenyataan itu, salah seorang mangsa yang dikenali sebagai Siti Naun Osman, 25 tahun, sempat memberitahu bagaimana kejadian berkenaan berlaku.
"Mangsa memaklumkan, dia bersama 10 lagi mangsa (lima wanita, dua lelaki dan tiga kanak-kanak) dalam perjalanan dari Tawau menuju ke Semporna pada sebelah malam 29 Mac lalu.
"Namun bot yang dinaiki mereka telah terbalik dipukul ombak yang kuat.
"Mangsa terpaksa bertahan selama tiga hari dengan hanya duduk di atas bot yang terbalik bagi menyelamatkan diri mereka sebelum ditemui kapal dagang terbabit," katanya.
Justeru itu, pihak MAWILLA 2 TLDM mengingatkan kepada orang ramai agar sentiasa peka dengan cuaca sebelum keluar ke laut bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.
#warga Malaysia #Filipina #bot karam #TLDM