Bot karam perairan Merabung: Operasi SAR tetap diteruskan walau ombak kuat

Radhi Muslim
Oktober 28, 2019 09:22 MYT
Operasi SAR tetap dietruskan dalam keadaan cuaca yang tidak menentu. - PPM
Walaupun berdepan cuaca buruk, anggota Pasukan Polis Marin (PPM) tetap meneruskan operasi mencari dan menyelamat (SAR), susulan kejadian bot karam di perairan Merabung, Lahad Datu.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata, SAR pada Isnin memasuki hari kelima dan ia dimulakan seawal jam 7 pagi.
Menurutnya, seramai 12 anggota PPM menggunakan tiga buah bot ronda dihantar bagi menjalankan pencarian enam mangsa yang masih hilang.
“Lokasi tumpuan dijalankan di perairan Pulau Pom-Pom, Semporna dan perairan Alice Reef, Lahad Datu.
“Anggota petugas SAR berdepan ombak kuat dan hujan lebat. Namun SAR tetap diteruskan.
“Setakat ini belum ada penemuan mayat baharu atau serpihan bot,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.
Terdahulu, pada Khamis lalu sebuah bot dinaiki sembilan individu karam di perairan Merabung, Lahad Datu.
Daripada jumlah itu, seorang lelaki selamat manakala dua mayat pula ditemui terapung.
Setakat ini, enam mangsa termasuk dua kanak-kanak dilaporkan masih hilang.
#bot karam #komander PPM wilayah empat sabah #Lahad Datu #Merabung #operasi mencari #Pasukan Polis Marin #PPM #Sarawak electionmohamad pajeri ali