Bot laju bertembung, kemeriahan Pesta Kanowit bertukar cemas

Angelina Sinyang
November 2, 2019 09:23 MYT
Akibat kemalangan tersebut mangsa mengalami kecederaan parah iaitu patah kaki kanan dan mangsa telah dikejar ke Hospital Kanowit. - Foto PDRM

Kemeriahan acara Perlumbaan Power Bot Pesta Kanowit yang berlangsung di Sungai Rajang di sini pagi tadi, bertukar tragedi apabila seorang peserta mengalami kecederaan parah selepas bot dipandu terlibat dalam kemalangan.

Kejadian kemalangan pada jam 9.30 pagi itu, mangsa, Sarahan Juhan, 36, sedang memandu bot lajunya menuju ke boya pertama apabila dilanggar oleh bot pelumba pasukan lain.
Ketua Polis Daerah Kanowit, Deputi Superintendan Tega Bilong berkata, bot laju Sarahan yang mewakili pasukan Alta Veloce 88 telah dilanggar oleh pemandu bot dari pasukan Hardy 89 yang ketika itu sedang bersaing menuju ke boya pertama.
"Akibat kemalangan tersebut,mangsa mengalami kecederaan parah iaitu patah kaki kanan dan mangsa telah dikejar ke Hospital Kanowit sebelum dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua bot terbabit mengalami kerosakan teruk tetapi pelumba dari Hardyb 89 tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, keadaan cuaca mendung semasa perlumbaan berlangsung, manakala air Sungai Rajang pula sedang surut menyebabkan banyak kayu hanyut di sungai.
Tambahnya, siasatan awal mendapati punca perlanggaran adalah disebabkan mangsa yang ketika itu berada di hadapan cuba menggelak kayu hanyut lalu dilanggar oleh pemandu dari pasukan Hardy 89.
“Terdahulu, perlumbaan itu telah diperakui selamat oleh pihak Lembaga Sungai Sarawak (LSS) sebelum acara dimulakan,” katanya.

Perlumbaan bot laju merupakan antara acara tarikan utama Pesta Kanowit yang berlangsung sejak 26 Oktober lalu dan menutup tirainya esok.

Pada 15 0ktober 2016, iaitu tiga tahun lepas, seorang pelumba bot laju, Danny Jawan, 37, maut semasa sesi latihan pandu uji dalam pertandingan sama apabila bot dipandunya dilanggar oleh pemandu lain.

#bot #bot terbabas #bot terbalik #cedera #kemalangan #Pesta Kanowit #Sungai Rajang