KUANTAN: Sebuah bot nelayan tempatan bersama lima kru warga Myanmar termasuk tekong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) di kedudukan 0.68 batu nautika dari Muara Sungai Kuantan di sini, pada Jumaat.

Pengarah Maritim Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin Jusoh, berkata penahanan itu dibuat ketika pasukannya melakukan rondaan Op Makmur di perairan tersebut.

“Hasil pemeriksan kita dapati lima individu tidak mempunyai permit kerja sah dan pengenalan diri mencurigakan

“Kesemua mereka  yang ditahan berusia antara 22 hingga 27 tahun merupakan warga Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau memaklumkan, peralatan menangkap ikan dan hasil laut yang dianggarkan seberat 730 kilogram telah dirampas.

Jelasnya, barang yang dirampas telah dibawa ke Jeti Penerpa, Kuantan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan selanjutnya.

“Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki telah melanggar syarat sah lesen dan tidak mempunyai pas kerja yang sah,” katanya.

Sehubangan itu, Kamal Ariffin menggesa komuniti maritim terutamanya nelayan tempatan agar sentiasa mematuhi undang-undang dan syarat sah lesen serta mengutamakan keselamatan di laut.

“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut komuniti maritim boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan MERS 999,” ujarnya.