Botol berbau petrol, kesan simbahan petrol ditemui

Sinar Harian
Februari 17, 2021 22:58 MYT
Enam kenderaan yang terbakar di parkir sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pantai Dalam di sini pada Rabu, dipercayai angkara khianat dengan api. -Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Enam kenderaan yang terbakar di parkir sebuah Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pantai Dalam di sini pada Rabu, dipercayai angkara khianat dengan api.
BACA: Enam kenderaan di parkir PPR Pantai Ria terbakar
Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintenden Basri Sagoni berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kes itu pada jam 12.45 tengah hari.
"Kita telah pergi ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan mendapati sebanyak tujuh kenderaan pelbagai jenama telah terbakar.
"Pihak Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat menjumpai satu botol berbau petrol dan kesan simbahan petrol di hadapan sebuah kereta Perodua Myvi berwarna hitam dan sebuah van berwarna merah yang disyaki menjadi punca letusan kebakaran," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Basri berkata, sebanyak lima spesimen di tempat kebakaran telah diambil dan dibawa ke makmal untuk analisis punca sebenar kebakaran.
"Kes ini disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan," katanya.
Kebakaran | Enam kenderaan terbakar, disyaki perbuatan khianat
Pada Rabu, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.46 tengah hari sebelum dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai serta Seputeh bergegas ke lokasi.
Komander Operasi Kanan, Penguasa Bomba Sharul Azwan Ibnu Sahad berkata, operasi pemadaman kebakaran itu melibatkan 21 anggota.
#Kenderaan Terbakar #angkara khianat #PPR di Pantai Dalam #Basri Sagoni #Sharul Azwan Ibnu Sahad #bomba #lima spesimen diambil