KAZAN: Badan pensijilan halal Brazil, Fambras Halal optimis Malaysia akan sentiasa menjadi peneraju dalam industri halal di peringkat global.

Pengarah Hubungan Antarabangsa Fambras Halal, Nizar El Ghandour, berkata Fambras komited untuk bekerjasama dengan Malaysia pada masa hadapan memandangkan piawaian Fambras bermula dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 1979.

"Apabila Fambras memulakan perjalanan (dalam industri halal), standard kami adalah berdasarkan standard Jakim.

"Jakim melakukan kerja yang hebat dalam (pembangunan halal) dan banyak melabur dalam industri halal bukan hanya penyembelihan. Tahniah buat Malaysia atas kualiti audit yang mereka lakukan. Kami (Fambras) akan sentiasa menjadi rakan kongsi dengan Malaysia," katanya.

Beliau ditemui di Pavilion Malaysia di Forum Ekonomi Antarabangsa Rusia-Dunia Islam ke-15: KazanForum 2024 di sini, pada Rabu.

Menurut maklumat yang dipaparkan di Pavilion Malaysia di Kazan Forum 2024, setakat 9 November lepas Bahagian Pengurusan Halal Jakim telah mengiktiraf 86 badan pensijilan halal luar negara dari 48 negara di seluruh dunia.

Fambras Halal adalah pemberi pensijilan produk dan perkhidmatan halal terbesar di Amerika Latin dan merupakan pelopor dalam pelaksanaan sistem halal di Brazil.

Kini Fambras beroperasi untuk pasaran Brazil, Colombia dan Paraguay.

Sementara itu Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Khairul Firdaus Akhbar Khan ketika ditemui selepas merasmikan pavilion Malaysia di KazanForum berkata penyertaan Malaysia kali ini bagi meninjau potensi kerjasama dalam pertanian, pelancongan, perdagangan dan pelbagai lagi peluang.

Beliau berkata minat masyarakat Islam di Kazan dalam industri halal adalah luas dan bukan sahaja dari sudut makanan tapi hospitaliti dan pelancongan.

"Banyak kerjasama strategik boleh Malaysia lakukan dengan masyarakat Islam di Kazan dan negara peserta forum yang lain terutama dari segi perkongsian ilmu," katanya yang mengetuai delegasi Malaysia ke forum itu.

Antara produk Malaysia yang dipromosikan di Pavilion Malaysia di KazanForum ialah produk orkid dari OrchidMas Sdn Bhd, pelbagai jenis sambal keluaran 3 Bumi Sdn Bhd dan snek daripada nanas tempatan.

-- BERNAMA