23 Delegasi Malaysia Bebas dari Israel, Kini di Istanbul untuk Pemeriksaan & Sokongan – Ikuti Perkembangan Terkini di sini
MALAYSIA

Break The Siege: "Saya sanggup lakukan apa sahaja" - Wartawan Astro AWANI seru sokongan media

Hasimi Muhamad 05/10/2025 | 10:00 MYT
Syafik (tiga dari kanan) menegaskan bahawa misi FFC dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) membawa harapan dan visi yang sama seperti GSF, iaitu suara rakyat Palestin dan menamatkan sekatan ke atas Gaza. - Foto FFC
KUALA LUMPUR: Wartawan Astro AWANI, Syafik Shukri Abdul Jalil yang kini menyertai Freedom Flotilla Coalition (FFC) ke Gaza menyeru agar media Malaysia bersama-sama memainkan peranan aktif dalam menyebarkan maklumat tentang misi kemanusiaan tersebut, sekali gus memecahkan kepungan haram rejim Zionis Israel.


Ringkasan AI
  • Wartawan Astro AWANI, Syafik Shukri, yang menyertai Freedom Flotilla Coalition (FFC) menyeru media Malaysia memainkan peranan aktif menyebarkan maklumat misi kemanusiaan ke Gaza untuk memecahkan kepungan Israel.
  • Misi FFC dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) bawa 150 peserta dari 25 negara, termasuk sembilan rakyat Malaysia, dengan fokus membawa wartawan, pakar perubatan dan aktivis ke Gaza.
  • Syafik puji sokongan Kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang memberi semangat kepada peserta misi, sambil menekankan komitmen sukarelawan dan kru memastikan pelayaran berjalan lancar.


Syafik yang berpengalaman lebih sedekad dalam bidang wartawan turut menyatakan kesediaannya untuk melakukan apa sahaja, demi memastikan usaha menyuarakan nasib rakyat Palestin mendapat liputan meluas dan perhatian global.

"Saya jujurnya, kalau ada media-media di Malaysia, yang sudi membantu kami dalam misi dan menguar-uarkan perkara ini, saya pasti dan sanggup melakukannya, walau apa sahaja yang berlaku.

"Kita nak menguar-uarkan misi ini dengan lebih besar dan meluas. Kita nak capai sasaran seperti mana yang berjaya diperoleh oleh Global Sumud Flotilla (GSF)," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Ahad.

Syafik menegaskan bahawa misi FFC dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) membawa harapan dan visi yang sama seperti GSF, iaitu suara rakyat Palestin dan menamatkan sekatan ke atas Gaza.

Dia yang kini berada di perairan antarabangsa berhampiran Mesir dan menaiki Kapal Conscience turut memuji komitmen luar biasa para sukarelawan, doktor dan kru media yang berada di atas kapal, yang sentiasa memastikan misi berjalan lancar tanpa gangguan teknikal, mahupun keselamatan.

Dalam masa sama, Syafik meluahkan rasa terharu dan syukur atas sokongan luar biasa yang diterima daripada Kerajaan Malaysia dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjayakan misi kemanusiaan tersebut.

Ujarnya, sokongan kukuh yang diberikan oleh Malaysia memberi semangat luar biasa kepada semua peserta misi, malah membuktikan bahawa suara kepimpinan negara sangat penting dalam menjayakan misi-misi kemanusiaan antarabangsa.

"Ketika ini, kita nak berkumpul bersama kesemua sembilan kapal layar lain kerana kita nak bersama-sama untuk meneruskan perjalanan.

"Kita sudah menghampiri garisan kuning, namun kita memperlahankan kapal pada masa ini untuk memastikan semua kapal layar bergerak seiring kerana angin kuat beberapa hari ini," ujarnya.

Pelayaran dianjurkan FFC dan TMTG memfokuskan kepada misi membawa wartawan antarabangsa, pakar perubatan dan aktivis ke Gaza.

Misi tersebut disertai 150 peserta dari 25 negara termasuk sembilan peserta dari Malaysia.

Antara yang terlibat dalam misi ini termasuk delegasi dari Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) melibatkan Dr Fauziah Hasan, Profesor Emiratus Dr Mohd Alauddin Mohd Ali, Profesor Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar, dan Dr Maziah Mohamad.







#Misi Freedom Flotilla Coalition #Global Sumud Flotilla #Break the Siege #misi kemanusiaan ke Gaza #Syafik Shukri Abdul Jalil #Gaza #Israel #terkini